doshheaderbm

Slider

Kerja di tempat tinggi

Definisi

1. Perundangan di Malaysia yang sedia ada tidak memberi definisi khusus bagi kerja di tempat tinggi.

2. Work at Height Regulations 2005 (WAHR) di UK mentakrifkan kerja di tempat tinggi sebagai

  1. kerja di mana-mana tempat, termasuk suatu tempat di atas atau di bawah tanah;
  2. menggunakan laluan keluar atau masuk di mana-mana tempat semasa bekerja, kecuali menggunakan tangga (staircase) di tempat kerja kekal di mana, jika langkah-langkah yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan ini tidak diambil, seseorang boleh jatuh pada jarak yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan diri.

3. Pengertian ini termasuklah kerja,

  1. dalam atau atas tempat kerja yang dinaikkan, contohnya di atas tangga lipat atau atap rata, di mana seseorang boleh jatuh;
  2. berhampiran bukaan lantai di mana melalui bukaan tersebut seseorang boleh jatuh;
  3. berhampiran tepian di mana seseorang boleh jatuh; atau
  4. dalam mana-mana tempat (sama ada atas atau bawah tanah), contohnya jatuh melalui permukaan rapuh, darinya seseorang boleh jatuh, dari satu aras ke aras yang lain.

4. Harus diketahui bahawa jarak yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan diri tidak ditetapkan dalam tafsiran ini.

Jarak yang Ditetapkan

5. Penetapan jarak dalam undang-undang berbeza di antara negara-negara.  Contohnya, peraturan di Malaysia1 menetapkan jarak ini sebagai 10 kaki, manakala di UK2, Singapura3 dan Australia4 adalah 2 meter. Di New Zealand5 dan Singapura6 jarak yang ditetapkan adalah 3 meter.

6. Jarak yang ditetapkan tidak lagi dikuat kuasakan di UK.

1 rujuk peraturan 12, Peraturan-Peraturan (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) Kilang dan Jentera 1970

2 rujuk sub-peraturan 6(3), the Construction (Health, Safety and Welfare) Regulations 1996

3 rujuk peraturan 8, the Workplace Safety and Health (Work at Heights) Regulations 2013

4 rujuk peraturan 291, the Work Health and Safety Regulations 2011

5 rujuk peraturan 21, the Health and Safety in Employement Regulations 1995

6 rujuk peraturan 2, the Workplace Safety and Health (Work at Heights) Regulations 2013

Perbezaan Jarak yang Ditetapkan

7. Walaupun terdapat perbezaan dari aspek penetapan jarak ini, tujuan undang-undang adalah sama iaitu untuk mencegah kecederaan diri pekerja.

8. Jatuh pada jarak yang ditetapkan ini telah diklassifikasikan sebagai berisiko tinggi3, 5, dan berkemungkinan besar menyebabkan kecederaan diri pekerja.

9. Jarak ini boleh dikaitkan dengan kebarangkalian pekerja mengalami kecederaan dan keterukan kecederaan jika terjatuh pada jarak yang ditetapkan. Kebarangkalian ini dipengaruhi oleh maklumat kemalangan lampau, saiz fizikal pekerja dan keadaan di tempat jatuh.

10. Oleh itu, perbezaan ini mungkin disebabkan oleh perbezaan keputusan penaksiran risiko yang dijalankan di negara-negara tersebut pada masa peraturan digubal.

Langkah-langkah yang Ditetapkan

11. Perlu diketahui bahawa setiap peraturan menghendaki majikan mengambil langkah-langkah yang ditetapkan jika penaksiran risiko menunjukkan pekerja mungkin boleh jatuh pada jarak yang ditetapkan ini.

Kewujudan Bahaya Lain

12. Ini tidaklah bermaksud jika risiko jatuh pada jarak yang kurang daripada had ini majikan tidak perlu mengambil langkah-langkah yang wajar bagi mencegah kecederaan diri pekerja.

13. Keputusan untuk menentukan langkah-langkah kawalan yang sesuai untuk diambil hendaklah berdasarkan penaksiran risiko, dengan mengambil kira bahaya lain yang mungkin wujud.

14. Contohnya, jika bahaya jatuh kurang dari jarak 10 kaki, tetapi terdapat bahaya lain seperti paku yang menjulur di permukaan jatuhan, maka majikan perlu mengambil langkah yang sesuai untuk melindungi pekerja dari bahaya tersebut.

Panduan Ringkas

15. Sebelum kerja di tempat tinggi, majikan harus melalui peringkat mudah ini:

  1. jika praktikal, elak kerja di tempat tinggi,
  2. jika tidak praktikal, cegah jatuh dengan menggunakan sama ada tempat kerja sedia ada atau peralatan yang betul;
  3. jika risiko tidak boleh dihapuskan, kurangkan akibat dan jarak jatuh, menggunakan peralatan yang betul.

Rajah 1 memberi panduan lanjut dan contoh-contoh untuk setiap peringkat.

rajah1

16. Majikan harus:

  1. seboleh-bolehnya, buat kerja di aras tanah;
  2. pastikan pekerja ada laluan yang selamat ke tempat kerja di tempat tinggi;
  3. pastikan peralatan adalah sesuai, kukuh dan cukup kuat untuk menjalankan kerja, disenggara dan diperiksa secara berkala;
  4. pastikan tiada beban atau jangkauan berlebihan semasa kerja di tempat tinggi;
  5. mengambil langkah berjaga semasa bekerja berhampiran dengan atau di atas permukaan rapuh;
  6. sediakan perlindungan bagi objek jatuh;
  7. pertimbang prosedur pengungsian kecemasan dan menyelamat.

Kemahiran, Pengetahuan dan Pengalaman Pekerja

17. Majikan harus memastikan pekerja yang ada kemahiran, pengetahuan dan pengalaman (SKE) yang mencukupi dilantik untuk bekerja, atau, jika dia sedang dilatih, kerja dia diselia oleh seseorang yang mempunyai SKE yang mencukupi untuk melakukannya.

18. Untuk tugasan yang berisiko rendah dan mengambil masa yang singkat (masa yang singkat bererti tugasan yang mengambil masa kurang daripada 30 minit) menggunakan tangga lipat, keperluan SKE mungkin tidak lebih daripada memastikan pekerja menerima arahan tentang bagaimana menggunakan peralatan dengan selamat (contohnya bagaimana menetapkan tangga lipat dengan betul) dan latihan yang sesuai.  Biasanya latihan dibuat di tempat kerja dan tidak semestinya di dalam kelas.

19. Jika tahap SKE yang lebih teknikal diperlukan, contohnya merancang dan memasang perancah, skim latihan dan pengiktirafan yang sedia ada membantu membuktikan SKE.

Guna Prinsip Am Pencegahan

20. Prinsip am pencegahan menggalakkan majikan untuk mula-mula pertimbangkan perlindungan kolektif, iaitu semua pekerja berisiko dilindungi.  Kemudian, jika ini tidak praktikal, gunakan perlindungan diri, yang hanya melindungi seseorang pekerja.

21. Perlindungan kolektif adalah peralatan yang tidak memerlukan pekerja bertindak untuknya berkesan, contohnya rel pengadang (juga dipanggil perlindungan pasif).

22. Perlindungan diri (juga dipanggil perlindungan aktif) adalah peralatan yang memerlukan pekerja bertindak untuknya berkesan, contohnya memakai abah-abah keselamatan dengan betul dan disangkutkan, menggunakan lanyard menyerap tenaga, pada anchor point yang sesuai.

23. Rajah 1 beri panduan lanjut.

Merancang kerja di tempat tinggi

24. Majikan harus:

  1. ambil kira keadaan cuaca yang boleh menjejaskan keselamatan pekerja;
  2. periksa tempat (contohnya bumbung) di mana kerja di tempat tinggi akan dibuat adalah selamat. Setiap tempat di mana pekerja akan bekerja di tempat tinggi diperiksa setiap masa, sebelum digunakan;
  3. hentikan objek atau bahan dari jatuh atau, jika tidak praktikal, ambil langkah-langkah yang sesuai dan mencukupi untuk memastikan tiada orang boleh tercedera, contohnya tandakan zon larangan atau gunakan jaring keselamatan untuk memerangkap objek jatuh;
  4. simpan objek dan bahan dengan selamat, supaya jika objek dan bahan tersebut runtuh atau terganggu tidak menyebabkan kecederaan;
  5. rancang untuk kecemasan dan menyelamat, contohnya, persetujui satu set prosedur pengungsian.  Fikir situasi yang boleh dijangka dan pastikan pekerja maklum tentang prosedur ini.  Jangan hanya bergantung sepenuhnya kepada Bomba dalam pelan menyelamat.

Memilih peralatan yang betul

25. Majikan harus:

  1. menyediakan peralatan yang paling sesuai untuk tugasan (gunakan Rajah 1 untuk panduan);
  2. ambil kira faktor-faktor seperti:
    1. keadaan kerja (contohnya, cuaca, ruang yang ada);
    2. sifat, kekerapan dan tempoh kerja;
    3. risiko kepada keselamatan setiap orang di mana peralatan akan digunakan (termasuk semasa pasang dan rombak);
  3. rujuk the Guidelines for the Prevention of Falls at Workplaces (rujuk Maklumat Lanjut).

Memastikan peralatan dalam keadaan baik

26. Peralatan, contohnya perancah, perlu dipasang mengikut reka bentuk yang diluluskan dan arahan pembuat.

27. Jika keselamatan peralatan bergantung kepada cara pemasangan, majikan harus memastikan ianya tidak digunakan sebelum diperiksa oleh orang yang mempunyai SKE yang diperlukan sebelum digunakan.

28. Pemeriksaan harus dijalankan pada sela masa yang sesuai bergantung kepada persekitaran (contohnya, cuaca buruk, kerosakan tidak sengaja) dan penggunaan.

29. Simpan rekod sebarang pemeriksaan.

Kerjasama Majikan dan Pekerja

30. Undang-undang meletakkan kewajipan umum ke atas pekerja untuk, secara munasabah, menjaga diri sendiri dan orang lain yang boleh terkesan dengan perbuatannya, dan bekerjasama dengan majikan untuk mematuhi undang-undang.

31. Pekerja mesti:

  1. guna peralatan dan peranti keselamatan yang diberi atau dibekalkan dengan betul, mengikut arahan dan latihan. Jika pekerja percaya ianya tidak selamat, mereka harus dapatkan arahan lanjut sebelum meneruskan kerja;
  2. lapor apa-apa bahaya keselamatan yang dikenal pasti kepada majikan.

32. Majikan mesti merujuk pekerja berkaitan perkara keselamatan dan kesihatan, termasuk

  1. risiko terhasil daripada kerja mereka;
  2. cadangan untuk mengurus dan/atau mengawal risiko ini;
  3. cara yang terbaik untuk memberi maklumat dan latihan.

33. Majikan harus tanya pekerja dan wakil mereka tentang bahaya yang mereka tahu dan mereka mungkin ada idea yang baik dan praktikal untuk mengawal risiko.

Peranan Pereka Bentuk Bangunan

34. Pereka bentuk bangunan harus taksir jika terdapat kerja yang akan dibuat di tempat tinggi sepanjang jangka hayat bangunan, contohnya semasa pembersihan, penyenggaraan dan pembaikian, bangunan.

35. Jika praktikal, cegah keperluan untuk bekerja di tempat tinggi.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut dan rujukan berkenaan artikel ini, e-mel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Maklumat Lain

Maklumat lain berkaitan kerja di tempat tinggi dari laman sesawang ini:

Garis Panduan - https://www.dosh.gov.my/index.php/ms/perundangan/garispanduan/binaan-bangunan-kerja-kerja-kejuruteraan/722-02-guidelines-for-the-prevention-of-falls-at-workplaces-2007-1/file

Poster - https://www.dosh.gov.my/index.php/ms/construction-safety-v/poster

Panduan Pemeriksaan - https://www.dosh.gov.my/index.php/ms/construction-safety-v/inspection-guidance

Cetak Emel