Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

OSHCIM

Pengenalan
1 Mengurus risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) pada peringkat perancangan dan reka bentuk selalunya lebih berkesan serta lebih mudah untuk dikekalkan dan untuk dibuat berbanding dengan membuat perubahan kemudian, ketika hazard telah menjadi risiko sebenar di tempat kerja. Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Pembinaan (Pengurusan) (OSHCIM) ini menyediakan panduan praktikal kepada klien, pereka dan pembina tentang pengurusan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa melaksanakan projek1 pembinaan sesebuah struktur2 .

 

2 Garis panduan OSHCIM adalah untuk pemegang kewajipan (sama ada orang yang menjalankan perniagaan atau pengusahaan) di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) dan Akta Kilang dan Jentera (AKJ). Ini termasuklah klien, pereka dan pembina seperti di Rajah 1. Garis panduan ini menerangkan apa yang mereka mesti atau patut lakukan untuk mematuhi undang-undang dan menyarankan peranan mereka untuk menguruskan projek mereka. Apa-apa tindakan yang diambil haruslah sepadan dengan risiko dalam projek pembinaan.

 

ms Figure 1 Key duty

Rajah 1. Pemegang kewajipan utama dalam Garis Panduan OSHCIM merupakan orang yang terlibat di dalam pasukan projek pembinaan.

 

3 Umumnya, tanggungjawab bagi KKP dalam projek pembinaan haruslah dikongsi dalam kalangan semua pihak berkepentingan dalam rantaian bekalan industri. Pihak berkepentingan seperti klien, pereka dan pembina haruslah bekerjasama untuk memastikan proses dan produk industri pembinaan bebas daripada hazard KKP. Dengan bekerjasama, mereka dapat mengenal pasti dan menghapuskan atau mengurangkan, setakat yang boleh dipraktikkan3, semua risiko reka bentuk yang dapat dijangka kepada keselamatan atau kesihatan mana-mana orang4.

 

4 Di bawah AKKP, mana-mana organisasi atau individu boleh pada masa sama menjadi satu atau lebih pemegang kewajipan bagi sesebuah projek atau tempat kerja. Pemegang kewajipan juga boleh mempunyai lebih daripada satu kewajipan. Setiap pemegang kewajipan mestilah mematuhi kewajipan tersebut menurut kehendak yang ditetapkan oleh AKKP sekalipun pemegang kewajipan lain mempunyai kewajipan yang sama.

 

5 Pemegang kewajipan juga mestilah melaksanakan kewajipannya dan bekerjasama dengan pemegang kewajipan lain untuk melaksanakan kewajipan mereka, dan menggalakkan pelaksanaan selamat bagi kerja pembinaan dan penyenggaraan supaya bangunan dan struktur tersebut boleh menjadi tempat kerja yang selamat.

 

Elemen Utama

6 OSHCIM ini berdasarkan lima elemen penting seperti Rajah 2.

 

ms Figure 2 Key elements

Rajah 2. Elemen-elemen utama Garis Panduan OSHCIM.

 

Pendekatan prinsip pengurusan risiko dan prinsip am pencegahan

7 Pemegang kewajipan haruslah menggunakan kedua-dua prinsip ini dalam pendekatan mereka untuk mengenal pasti langkah-langkah yang mereka perlu ambil untuk mengawal risiko KKP dalam sesuatu projek. Prinsip pengurusan risiko adalah satu cara sistematik untuk menjadikan tempat kerja selamat dan ia juga seharusnya digunakan sebagai sebahagian daripada proses reka bentuk. Pengurusan risiko melibatkan pengenalpastian hazard, penaksiran risiko, pengawalan risiko dan penyemakan langkah-langkah kawalan.

 

8 Secara ringkasnya, prinsip am pencegahan adalah seperti berikut:
(a) mengelakkan risiko sekiranya mungkin;
(b) menilai risiko yang tidak dapat dielak; dan
(c) mengadakan langkah kawalan wajar yang mengawalnya pada punca.

 

9 Garis panduan OSHCIM menyarankan pereka, pereka prinsipal, pembina prinsipal dan pembina untuk mengambil kira prinsip tersebut semasa melaksanakan kewajipan mereka. Dengan menerapkan prinsip ini pada peringkat perancangan dan reka bentuk akan membolehkan klien, pereka dan pembina menyatupadukan langkah-langkah kawalan awal dalam proses reka bentuk untuk mengelakkan atau, jika ini tidak praktikal dan munasabah, meminimumkan risiko KKP sepanjang hayat struktur yang direka bentuk.

 

10 Mereka bentuk untuk keselamatan struktur haruslah sentiasa menjadi sebahagian daripada set objektif reka bentuk yang lebih luas, di samping praktikaliti, aestatik, kos dan kefungsian. Persaingan objektif-objektif ini perlu diimbangkan tanpa bertolak ansur dengan KKP mereka yang bekerja di dalam atau menggunakan struktur tersebut sepanjang hayat struktur tersebut. Garis panduan am tentang proses pengurusan risiko boleh didapatkan dalam Garis Panduan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

 

Melantik pereka dan pembina

12 Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab untuk melantik pereka (termasuk pereka prinsipal) atau pembina (termasuk pembina prinsipal) untuk menjayakan sesebuah projek haruslah memastikan bahawa mereka yang dilantik mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman untuk melaksanakan kerja tersebut dengan cara yang menjamin KKP. Jika mereka yang dilantik adalah sebuah organisasi, ia haruslah turut mempunyai kebolehan organisasi yang sewajarnya. Mereka yang melantik haruslah memastikan mereka yang dilantik mempunyai kualiti ini sebelum pelantikan mereka. Begitu juga, mana-mana pereka atau pembina yang ingin mendapatkan pelantikan sebagai individu, haruslah memastikan mereka mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan.

 

13 Pemegang kewajipan haruslah dilantik pada masa yang tepat. Sebagai contoh, klien haruslah melantik pereka prinsipal dan pembina prinsipal secepat yang mungkin dan sebelum bermulanya fasa pembinaan, supaya mereka mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan kewajipan mereka untuk merancang dan menguruskan, masing-masing fasa prapembinaan5 dan fasa pembinaan.

 

Pembina yang melantik sesiapa untuk kerja di tapak pembinaan

14 Apabila pembina melantik sesiapa untuk melaksanakan kerja di tapak pembinaan, mereka haruslah memastikan bahawa orang yang dilantik mempunyai, atau dalam proses mendapatkan, kemahiran, pengetahuan, latihan dan pengalaman yang betul. Bukan semua orang akan memiliki kualiti ini dan, jika mereka tiada kualiti tersebut, pelantikan haruslah dibuat berdasarkan mereka berupaya mendapatkannya.

 

Penyeliaan, arahan dan maklumat

15 Tahap penyeliaan, arahan dan maklumat yang diperlukan akan bergantung kepada risiko yang terlibat dalam projek dan tahap kemahiran, pengetahuan, latihan dan pengalaman pekerja. Pembina (termasuk pembina prinsipal) haruslah memastikan penyeliaan adalah berkesan dan induksi tapak yang sesuai6 diberi bersama-sama maklumat lain – seperti prosedur yang hendak diikuti sekiranya berlaku hazard KKP yang serius.

 

Bekerjasama, berkomunikasi dan menyelaras

16 Pemegang kewajipan haruslah saling bekerjasama dan menyelaras kerja mereka untuk memastikan keselamatan dan kesihatan. Mereka juga haruslah saling berkomunikasi

 

 


 

1Projek bermaksud satu projek yang merangkumi atau bermaksud untuk merangkumi kerja pembinaan dan termasuk semua kerja perancangan, reka bentuk, pengurusan atau kerja lain yang terlibat dalam sesebuah projek sehingga penghujung fasa pembinaan.

2Struktur ditakrif sebagai apa-apa struktur kekal atau sementara, yang juga termasuk apa-apa bahagian struktur dan apa-apa produk, atau sistem mekanikal atau elektrikal yang dirancang untuk struktur tersebut.

3Boleh dipraktikkan bermaksud tahap risiko dalam situasi tertentu boleh diimbangkan dengan masa, masalah, kos dan kesukaran fizikal dalam mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan risiko. Satu tindakan dianggap dapat dipraktikkan apabila ia boleh dilaksanakan. Untuk memutuskan sama ada satu-satu tindakan itu munasabah, seseorang perlu mempertimbangkan: (a) keterukan apa-apa kecederaan atau mudarat kepada keselamatan yang mungkin berlaku; (b) tahap risiko (atau kemungkinan) kecederaan atau mudarat tersebut berlaku; (c) berapa banyak yang diketahui tentang bahaya tersebut dan cara menghapuskan, mengurangkan atau mengawalnya; dan (d) kebolehdapatan, kesesuaian dan kos menjaga/memelihara.

4Orang ditakrif sebagai mana-mana orang: (a) melaksanakan atau berkemungkinan boleh terjejas oleh kerja pembinaan bagi struktur tersebut; atau (b) bekerja dalam bangunan atau struktur sudah siap sebagai tempat kerja termasuk individu yang menjaga atau membersihkan struktur tersebut, atau apa-apa yang di dalam atau pada struktur tersebut.

5Fasa prapembinaan bermaksud apa-apa tempoh masa semasa reka bentuk atau kerja persiapan dilaksanakan untuk sesebuah projek dan mungkin berterusan semasa fasa pembinaan.

6Ujian kesesuaian akan merangkumi penaksiran kecukupan masa yang ada dan sumber lain, pengalaman lampau projek serupa, dan pengalaman dan kelayakan pekerja.

 

Cetak Emel