• Arkib Berita
  • 2018
  • Kaunter Khidmat Rakyat di pasar - Berita Harian
Slider

Kaunter Khidmat Rakyat di pasar - Berita Harian

IPOH: Kementerian Sumber Manusia mengambil pendekatan turun padang dalam memberikan kemudahan kepada orang ramai dengan melancarkan Kaunter Khidmat Rakyat yang akan diadakan pada hujung minggu pertama setiap bulan di pasar awam.

Menterinya, M Kulasegaran berkata, kaunter yang dibuka pada Sabtu dan Ahad bertujuan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya.

Katanya, sebagai permulaan pihaknya melaksanakan kemudahan kaunter berkenaan di kawasan pasar awam sekitar bandar raya Ipoh dengan kaunter sementara yang pertama dilaksanakan adalah di Pasar Awam Kampung Tawas, di sini hari ini.

"Pembukaan Kaunter Khidmat Rakyat ini bertujuan mendekatkan jabatan dan agensi di bawah kementerian seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan masyarakat setempat.

"Ia akan dimulakan di serata Ipoh dan kita akan lihat sambutannya sebelum diperluaskan di semua kawasan Parlimen setiap negeri," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Awam Kampung Tawas di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed.

Kulasegaran berkata, pemilihan pasar awam sebagai lokasi kaunter perkhidmatan itu kerana ia kawasan tumpuan masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dan ke bawah.

"Terdapat golongan yang tidak tahu bagaimana mendapatkan bantuan serta ada yang sukar untuk ke pejabat kerajaan untuk memohon bantuan dan mendapatkan maklumat.

"Dengan adanya kaunter ini di pasar ia mudah dikunjungi rakyat setempat di samping membeli barang keperluan harian di hujung minggu.

"Saya harap kemudahan ini dapat memberikan maklumat penting kepada masyarakat mengenai fungsi jabatan seperti urusan tuntutan PERKESO bagi pekerja yang mengalami kemalangan, hilang upaya atau kematian dan juga isu pekerjaan lain yang boleh dibantu kementerian," katanya.

Cetak Emel