Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2017
  • Sanggup sembunyi dalam lubang tanah - Sinar Harian Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2017
  • Sanggup sembunyi dalam lubang tanah - Sinar Harian Online

Sanggup sembunyi dalam lubang tanah - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 18 Mei 2017

 

 

KUALA LUMPUR - Demi mengelak daripada ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia yang melakukan Operasi Tapak (Op Tapak), lebih 10 pekerja warga asing sanggup bersembunyi di dalam lubang tanah yang gelap sedalam dua meter di kawasan tapak pembinaan di Jalan Khidmat Usaha, di sini hari ini.

Bagaimanapun, cubaan itu gagal selepas kesemuanya ditahan pasukan Op Tapak menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan pekerja warga asing dengan pelbagai kesalahan seramai 115 orang termasuk seorang wanita.

Selain Jabatan Imigresen Operasi bersepadu selama dua jam itu dianggotai 70 anggota melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPMKL), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Op Tapak, Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasaan, Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata kesemua warga asing yang ditahan daripada 250 pekerja asing yang diperiksa di tapak pembinaan itu didapati menyalahgunakan permit, tinggal lebih masa dan tiada permit pekerjaan.

"Kesemua pekerja asing kebanyakannya terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh akan disiasat dan didakwa mengikut jenis kesalahan masing-masing," katanya dalam sidang media selepas Op Tapak berkenaan.

Osman berkata, hasil pemeriksaan DBKL terhadap tapak pembinaan berkenaan mendapati, syarikat pemaju gagal membina longkang sementara dan 'seal trap', tidak membina bangunan sementara bagi pekerja asing di situ selain tidak mempunyai permit membina bangunan sementara bagi pekerja warga asing di tapak projek terbabit.

"Syarikat konsultan dan syarikat arkitek projek ini masing-masing akan dikenakan notis kompaun RM50,000 dan akan diberi notis selama tujuh hari untuk menyediakan kesemua aspek yang gagal dipatuhi sebelum ini. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, 'perintah henti kerja' akan dikeluarkan serta-merta.

"Hasil siasatan pihak DOSH juga mendapati tapak pembinaan itu tidak menyediakan jaring keselamatan yang secukupnya dan tidak mempunyai pelantar perangkap," katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Penguatkuasaan Keselamatan Bangunan, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPMKL, Jelani Ahad berkata syarikat pemaju projek itu juga gagal menyediakan paip sesalur naik dan tangki simpanan air walaupun telah mencapai tahap ketinggian yang ditetapkan pihak bomba untuk pemasangan paip itu.

"Pihak pemaju akan diberikan notis selama dua bulan untuk menyediakannya dan jika gagal berbuat demikian, dakwaan akan dibuat mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 yang memperuntukkan denda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Op Tapak siri pertama pada tahun ini diadakan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan tapak pembinaan berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan, memastikan projek pembinaan mematuhi pelan kelulusan dan memastikan pekerja-pekerja binaan warga asing mempunyai permit sah. - Bernama

Cetak Emel