• Arkib Berita
  • 2016
  • Ketatkan kawalan keselamatan eskalator. - Berita Harian Online
Slider

Ketatkan kawalan keselamatan eskalator. - Berita Harian Online

Beritan Harian Online, 18 Oktober 2016

 

KUALA LUMPUR: Pengurusan pusat beli-belah di seluruh negara disaran mengetatkan kawalan keselamatan, khususnya terhadap penggunaan eskalator dalam kalangan kanak-kanak.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, menyifatkan orang ramai masih mengambil ringan terhadap bahaya ketika menggunakan eskalator.

Beliau berkata, insiden terbaharu membabitkan kanak-kanak tiga tahun, semalam, membuktikan kempen kesedaran dan usaha memaparkan langkah keselamatan ketika menggunakan eskalator langsung tidak menyuntik sebarang impak positif.

"Ini bukan isu baharu, sebaliknya sudah beribu kali hangat diperkatakan di media sosial, akhbar dan televisyen, malah masyarakat sering dipaparkan dengan pelbagai video kemalangan membabitkan eskalator.

"Bagaimanapun, orang ramai hanya sekadar menonton video itu, ibarat `masuk telinga kiri, keluar telinga kanan', tanpa mengambil sebarang iktibar dan langkah keselamatan yang disyorkan.

"Sehubungan itu, sudah tiba masanya untuk setiap pengurusan pusat beli-belah mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan eskalator, selain menempatkan petugas di kawasan berisiko tinggi," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun retak tempurung kepala dan mengalami pendarahan dalam kepala selepas terjatuh daripada eskalator di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Nur Akilah Amani Zuraimi Hashim, yang diletakkan di bahu bapanya terjatuh dari tingkat satu, iaitu setinggi tiga meter.

Insiden berkenaan dikatakan berpunca daripada bapa kanak-kanak perempuan itu yang panik ketika menundukkan kepalanya untuk cuba membantu anak sulungnya kerana tersepit di getah pemegang eskalator.

Lam Thye turut mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan setiap pengurusan pusat beli-belah untuk membuat pengumuman dari semasa ke semasa mengenai peringatan ketika menggunakan eskalator menerusi sistem hebahan.

"Ini boleh diselangi dengan paparan video di laluan menaiki eskalator mengenai insiden yang pernah menimpa orang ramai, khususnya kanak-kanak supaya ia menjadi iktibar kepada mereka," katanya.

 

Cetak Emel