Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Pasukan khas tangani denggi bertemu pada 14 Julai ini
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Pasukan khas tangani denggi bertemu pada 14 Julai ini

Pasukan khas tangani denggi bertemu pada 14 Julai ini

Utusan Online, 2 Julai 2014

PUTRAJAYA 2 Julai - Pasukan Petugas Khas untuk menangani peningkatan kes demam denggi yang diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 14 Julai ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan disertai oleh Kementerian Kesihatan; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Kerja Raya serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan turut serta dalam mesyuarat berkenaan.

"Dalam mesyuarat Kabinet hari ini isu demam denggi dibincangkan dengan begitu serius dan langkah kerajaan menubuhkan pasukan petugas ini bertujuan menangani peningkatan kes dan wabak denggi di negara ini.

"Pasukan petugas ini juga merupakan satu usaha bersepadu melalui jalinan kerjasama erat antara kementerian-kementerian dalam usaha memastikan kes denggi mampu kita tangani dengan lebih berkesan," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Pasca Kabinet, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Mesyuarat tersebut juga dikenali dengan nama Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi kali kedua dan pernah diadakan buat kali pertama pada 20 September 2010 ketika negara dilanda wabak itu pada tahun tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Subramaniam meminta para doktor termasuk yang berkhidmat dengan klinik atau hospital swasta lebih teliti ketika membuat pemeriksaan awal terutama terhadap pesakit yang demam.

Sebaik-baiknya, beliau berkata, pesakit tersebut perlu menjalani ujian pengesahan untuk menentukan mereka menghidap denggi atau sebaliknya.

"Pengesanan awal denggi juga dapat menyelamatkan pesakit daripada mengalami komplikasi dan dalam masa yang sama tindakan kawalan dapat dilaksanakan dengan segera oleh pihak kementerian dan PBT," katanya.

Mengenai statistik terkini penghidap denggi beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga 28 Jun lalu sebanyak 44,518 kes denggi telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 246 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi tempoh sama sejumlah 85 kematian telah dilaporkan di seluruh negara berbanding 27 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2013 iaitu peningkatan sebanyak 215 peratus," ujarnya.

Berhubung kes virus Japanese Encephalitis (JE) pula Subramaniam berkata, pihak kementerian telah melakukan beberapa langkah kawalan antaranya menghapuskan sarang pembiakan nyamuk Culex di dalam lingkungan dua kilometer di tempat berlakunya kes berkenaan.

"Sekiranya seorang pesakit didapati menghidap JE, kita akan melakukan pembersihan sarang pembiakan nyamuk Culex dalam lingkungan dua kilometer daripada rumah atau kediamannya.

"Kita juga akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar memandangkan virus JE ini terdapat di dalam binatang dan salah satunya ialah khinzir. Kita akan adakan perbincangan dengan mereka untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi.

Kelmarin, Subramaniam berkata, sehingga kini sebanyak 16 kes jangkitan virus JE dilapor yang melibatkan empat kematian.

Cetak Emel