Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Dua parah dihempap besi binaan LRT
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Dua parah dihempap besi binaan LRT

Dua parah dihempap besi binaan LRT

Utusan Online, 27 Jun 2014

news 27062014 2
MANGSA yang parah menunggu bantuan selepas keretanya dihempap kerangka besi projek pembinaan LRT di Jalan Lapangan Terbang Subang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Jun - Sepasang suami isteri parah selepas kereta Honda Civic yang dinaiki mereka dihempap kerangka besi projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) yang tiba-tiba terjatuh di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kedua-dua mangsa yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja tidak sempat mengelak kerangka besi itu yang dipercayai terjatuh dari ketinggian enam meter.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.05 pagi dan dimaklumkan terdapat dua mangsa tersepit dalam kenderaan di tempat kejadian.

"Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, kereta mangsa turut dirempuh sebuah van Nissan Vanette yang berada di belakangnya semasa kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kemalangan tersebut telah menyebabkan kesesakan lalu lintas selama 40 minit di sepanjang Jalan Lapangan Terbang Subang kerana proses mengalihkan kenderaan yang terlibat.

Cetak Emel