Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Celcom rangkul Anugerah Perdana Menteri Kecemerlangan Sumber Manusia 2014
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Celcom rangkul Anugerah Perdana Menteri Kecemerlangan Sumber Manusia 2014

Celcom rangkul Anugerah Perdana Menteri Kecemerlangan Sumber Manusia 2014

Utusan Online, 21 Jun 2014

MELAKA 21 Jun - Celcom Axiata Berhad (Celcom) dipilih menerima Anugerah Perdana Menteri Untuk Kecemerlangan Sumber Manusia 2014 (Sektor Swasta) sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Kejayaan merangkul anugerah itu membolehkan syarikat berkenaan membawa pulang hadiah berupa cek berjumlah RM50,000 selain sebuah piala dan sijil penghargaan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lebih cemerlang lagi apabila syarikat tersebut turut dipilih memenangi Anugerah Majikan 1Malaysia 2014 (Syarikat Milik Kerajaan) pada majlis sama dan menerima cek bernilai RM10,000.

Bagi Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin pula dipilih menerima Anugerah Tokoh Mahir Negara 2014 dan merangkul hadiah bernilai RM5,000 serta piala.

Beliau dipilih menerima anugerah tersebut hasil kejayaannya dalam pelbagai bidang perniagaan borong seperti emporium, hypermarket, kedai serbaguna, bazar dan pasar raya mini sehingga berkembang kepada 200 buah di seluruh negara.

Di bawah pengurusannya juga, Mydin telah berjaya membentuk pusat latihan runcit tersendiri dikenali sebagai Akademi Peruncitan Mydin (MyRA) hasil kerjasama Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah berjaya melahirkan seramai 174 perantis sehingga kini.

Mereka adalah antara 13 penerima anugerah sempena sambutan Hari Pekerja 2014 yang dihadiri kira-kira 12,000 pekerja dari sektor awam dan swasta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia Celcom Axiata Berhad (Celcom), Mazri Abdul Rahim berkata, pihaknya sangat berbangga dan bertuah kerana dipilih oleh Kementerian Sumber Manusia untuk meraih kejayaan tersebut.

"Kecemerlangan yang dicapai ini adalah berkat kerja kuat dan usaha gigih yang telah dicurahkan syarikat melalui tunjuk ajar Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Shazalli Ramly.

"Diharapkan anugerah yang diterima ini akan dapat menjadi pemacu kepada syarikat untuk menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah tersebut, di sini hari ini.

Dalam pada itu, pada majlis sama, tiga individu turut dipilih menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara 2014 dan masing-masing membawa pulang hadiah berupa cek bernilai RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

Ketiga-tiga mereka ialah Norisah Bahrom yang merangkul anugerah bagi kategori kumpulan bukan eksekutif, R. Sethupandian (kumpulan eksekutif) dan Dr. Wong Huey Siew bagi kumpulan orang kurang upaya (OKU).

Norisah, 39, yang juga Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) ketika ditemui berkata, pengiktirafan itu merupakan kejutan baginya namun menganggap ia sebagai penghargaan atas segala usaha yang telah dicurahkan dalam kerjayanya selama ini.

‘’Saya amat bersyukur kerana diberi kekuatan dan semangat tinggi untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai seorang pekerja malah mampu melaksanakannya dengan baik seperti orang lain walaupun mempunyai kecacatan fizikal," katanya yang tidak mampu berjalan sejak berumur 15 tahun.

Selain cemerlang dalam bidang kerjaya, Norisah juga pernah dipilih sebagai penerima Anugerah Olahragawati Paralimpik pada 2009 dan anugerah Best Women Team of The Year pada Kejohanan Tenis Berkerusi Roda Berkumpulan di Itali pada 2002.

Cetak Emel