Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Pandu terlalu laju punca nahas bas
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Pandu terlalu laju punca nahas bas

Pandu terlalu laju punca nahas bas

Utusan Online, 21 Februari 2014

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Laporan Panel Penasihat Bebas mengenai kemalangan bas di Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur mendapati punca utama nahas yang meragut 37 nyawa dan mencederakan 16 yang lain berpunca daripada bas tersebut dipandu terlalu laju.

Penemuan tersebut selari dengan laporan daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) pada 8 November lalu yang mendapati bas berkenaan dipandu laju semasa menuruni kawasan berbukit yang berselekoh menyebabkan hilang kawalan lalu merempuh tembok sebelum terhumban ke atas bongkah batu besar dalam gaung.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan laporan tersebut hari ini berkata, selain itu, terdapat faktor lain yang menyumbang kepada punca serta tahap keparahan kemalangan tersebut.

Katanya, ia termasuk aspek reka bentuk jalan yang memberi persepsi tidak betul kepada pemandu, penghadang keselamatan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan serta kedudukan laluan kecemasan yang sukar digunakan semasa kecemasan.

"Faktor lain ialah aspek kenderaan, keselamatan operasi serta amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam sektor pengangkutan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Malaysia Armed Forces: The Nation's Shield 80th Anniversary' di Wisma Pertahanan, di sini.

Kemalangan di Kilometer 3.6, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas selepas kenderaan yang dinaiki seramai 53 orang itu terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Beliau berkata, beliau telah membentangkan Laporan Panel Penasihat Bebas berhubung nahas itu kepada Kabinet, semalam.

Katanya, panel itu juga mengesyorkan 51 cadangan penambahbaikan meliputi aspek jalan, kenderaan, keselamatan operasi serta amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan, tindakan kecemasan dan menyelamat serta memperkasakan penglibatan orang awam terhadap keselamatan jalan raya.

 

Cetak Emel