Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh, syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh, syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah

Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh, syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah

Kosmo, 23 Januari 2014


BALIK PULAU - Dua wakil syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan menyebabkan satu kematian dan kecederaan terhadap tiga mangsa dalam kejadian runtuhan rod penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang pada Jun 2013.

Kedua-dua tertuduh, Chan Kah Heen, 39, yang mewakili syarikat Cergas Murni Sdn. Bhd. dan Pengarah Urusan Giga Engineering And Construction Sdn. Bhd., Abdul Raub Razali, 50, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Cergas Murni Sdn. Bhd., pada pukul 7 petang 6 Jun tahun lalu telah gagal menjalankan keja-kerja pembinaan Span 5 R2/P6 ke R2/P7, Ramp 2 di projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, pakej 3A, Batu Maung Intercharge.

Syarikat itu juga didakwa tidak mengambil langkah praktik bagi memastikan keselamatan ornag lain yang bukan pekerja sehingga menyebabkan kematian ke atas seorang orang awam, Tajudin Zainal Abidin, 46, dan mendatangkan kecederaan kepada dua orang awam lain iaitu, R. Thailasheni, 25, dan G. Gajashantini, 25.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(1) mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta yang sama.

Sementara itu, Giga Engineering And Constustion Sdn. Bhd., pula dituduh menyebabkan kecederaan kepada dua pekerjanya Lwim pada masa dan tempat yang sama.

Tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh dihukum di bawah Seksyen akta sama.

Kedua-dua kesalahan tersebut boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding yang berlangsung semalam, hanya Cergas Murni Sdn. Bhd., diwakili peguam, Sarita Ashok Khandar manakala pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kementerian Sumber Manusia, Nurakhmar Mohd. Sani dan Nik Azrin Zairin Nik Abdullah.

Muhammad Najib kemudian memerintahkan kes tersebut ditangguh dan dipindahkan ke Mahkamah Seksyen disini untuk disebut semula pada 28 Februari depan.

Dalam kejadian pada 6 Jun tahun lalu, rod penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung runtuh menyebabkan seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya dihempap konkrit penyambung jambatan itu.

Runtuhan itu turut menyebabkan dua lagi pengguna jalan raya cedera akibat terkena serpihan konkrit tersebut.

Tragedi itu turut menyebabkan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dijadualkan dibuka kepada orang ramai pada September 2013 terpaksa ditunda selepas kerja-kerja pembinaan di sekitar runtuhan itu terpaksa dihentikan selama kira-kira dua bulan untuk tujuan siasatan pihak berkuasa.

Cetak Emel