Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • P.Pinang cadang tubuh suruhanjaya siasatan untuk kaji dua tragedi
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • P.Pinang cadang tubuh suruhanjaya siasatan untuk kaji dua tragedi

P.Pinang cadang tubuh suruhanjaya siasatan untuk kaji dua tragedi

BorneoPost Online, 20 Jun 2013

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri bercadang menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang mengenai kegagalan struktur sivil dalam dua kejadian berasingan di negeri ini dalam tempoh seminggu lepas.

Beliau berkata, suruhanjaya itu akan menyiasat secara menyeluruh kedua-dua kejadian iaitu runtuhan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang serta runtuhan struktur konkrit penebat kilat di Jalan Macalister di sini.

“Cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan ini telah dipersetujui dalam mesyuarat exco kerajaan negeri, dan ia merupakan suruhanjaya yang pertama ditubuhkan di negeri ini,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, terdapat tiga terma rujukan bagi suruhanjaya iaitu menyiasat punca kejadian, menyemak dan memastikan sama ada semua kelulusan dan kebenaran telah diperolehi daripada jabatan-jabatan berkenaan secara sah termasuk pengecualian yang diberikan, sekiranya ada.

Terma rujukan yang ketiga ialah menghukum pihak yang terlibat khususnya mana-mana jabatan atau pemilik bangunan sekiranya terbukti ada kecuaian serta mencadangkan langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Suruhanjaya ini dijalankan secara bebas bagi mencari kebenaran dan keadilan untuk keluarga mangsa. Sehubungan itu, keputusan siasatan yang dijalankan nanti, akan diumumkan kepada awam.

“Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menjalankan siasatan dalaman, yang mana, hasil siasatan tidak akan diumumkan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Lim menayangkan klip video yang diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian di Jalan Macalister yang berdurasi 15 saat kepada keluarga mangsa iaitu Lim Chin Aik, 44, dan media.

Antara yang hadir ialah ibu mangsa Ang Kim Hooi @Ang Kim Looi, 70; dan ayah mangsa Lim Tian Chor, 73.

Dalam kejadian angin kencang pada petang Khamis lepas, seorang penjual nasi Lim Chin Aik, 44, dikhuatiri tertimbus setelah pasukan mencari dan menyelamat menemui sebuah kereta Honda City berwarna kelabu dipercayai miliknya terbenam di kawasan runtuhan pada Sabtu.

Selain Chin Aik, insiden itu turut menyebabkan seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, maut selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat itu. — Bernama

Cetak Emel