Breadcumb Caption
  • Arkib Info KKP
  • 2015
  • Kes Kegagalan Passenger/Material Hoist Di Tapak Pembinaan Di Putrajaya
Breadcumb Caption
  • Arkib Info KKP
  • 2015
  • Kes Kegagalan Passenger/Material Hoist Di Tapak Pembinaan Di Putrajaya

Kes Kegagalan Passenger/Material Hoist Di Tapak Pembinaan Di Putrajaya

BKF 010715

Pada 23 Mac 2015, lebih kurang jam 10.45 pagi, telah berlaku satu kemalangan di tapak pembinaan pangsapuri di Putrajaya. Kemalangan ini melibatkan sebuah jentera Passenger / Material Hoist yang dipasang di tapak pembinaan tersebut. Jentera ini telah terjatuh secara tiba-tiba dari ketinggian lebih kurang 30 meter ( tingkat 10 ) ke aras yang paling bawah sehingga menghentam buffer jentera. Kejadian ini telah mengakibatkan 4 orang pekerja yang berada di dalam jentera tersebut meninggal dunia.

Punca-punca kejadian kemalangan ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

  1. Terdapat kerosakkan pada bahagian gigi sistem rack dan driving pinion gear. Ini menyebabkan sistem rack dan pinion gear tidak dapat berfungsi dengan baik atau sempurna.
  2. Jentera passenger/material hoist mengalami beban lampau semasa beroperasi kerana muatan yang dibawa ke dalam hoist melebihi beban yang dibenarkan dan ini mengakibatkan jentera tidak mampu menampung beban yang berlebihan dan seterusnya jatuh terhempas ke bawah.
  3. Terdapat kemungkinan berlaku kecacatan atau kerosakkan pada sistem positive drive motor, gear box dan brake jentera ini. Kegagalan pada salah satu sistem ini kemungkinan menyebabkan jentera ini gagal untuk turun ke bawah secara normal.
  4. Terdapat kerosakkan pada sistem guide roller jentera . Kerosakkan yang berlaku pada sistem ini menyebabkan jentera akan bergerak dengan tidak mengikut guide rail atau berlaku misalignment dan ini boleh menyebabkan persentuhan antara rack dan pinion gear tidak berlaku dan jentera passenger/material hoist jatuh ke bawah.
  5. Berlaku keadaan haus dan lusuh (wear and tear) yang teruk pada bahagian mekanikal jentera yang bergerak sehingga ianya gagal untuk berfungsi dengan sempurna.
  6. Alat keselamatan jentera (safety device) gagal berfungsi dengan sepatutnya.

Cadangan tindakan pencegahan kemalangan:

  1. Pemasangan jentera haruslah dilakukan menurut arahan yang ditetapkan oleh pihak pembuat dan ia juga perlu dipasang oleh mereka yang kompeten.
  2. Jentera hoist ini hendaklah beroperasi dengan mematuhi arahan atau Safe Operating Procedure yang telah ditetapkan oleh pihak pembuat sepertimana yang terkandung di dalam arahan manual pembuat.
  3. Jentera hendaklah diperiksa dan diuji sepenuhnya oleh mereka yang kompeten sebelum dikendalikan.
  4. Semua peranti keselamatan jentera hendaklah diperiksa dan diuji serta berfungsi dengan baik sebelum jentera dikendalikan.
  5. Jentera hoist hendaklah dikendalikan oleh operator yang kompeten.
  6. Program Penyenggaraan yang berkesan, terperinci / komprehensif, perlu dilaksanakan oleh pemilik jentera. Program penyenggaraan yang dilaksanakan perlulah mematuhi arahan atau prosidur yang telah ditetapkan oleh syarikat pembuat jentera atau mana-mana piawai atau kod yang diiktiraf. Penyenggaraan juga perlulah dilakukan oleh mereka yang kompeten.
  7. Jentera juga perlu menjalani pemeriksaan berkala atau pemeriksaan khas ke atas setiap komponennya terutama komponen mekanikal jentera tersebut. Ini bagi memastikan tahap integriti dan keselamatan penggunaannya lebih terjamin
  8. Pemeriksaan berkala yang dilakukan hendaklah menggunakan senarai semak yang ditetapkan oleh pembuat jentera. Pemeriksaan berkala yang lebih kerap dan terperinci ke atas setiap komponen jentera perlu dilakukan sebelum dan selepas jentera beroperasi. Program pemeriksaan yang dijalankan hendaklah mematuhi arahan daripada syarikat pembuat jentera dan pemeriksaan tersebut perlu dilakukan oleh mereka yang berkelayakkan dan kompeten.
  9. Sekiranya komponen jentera mengalami kerosakkan yang teruk, komponen tersebut perlulah diganti dengan komponen yang baru yang memenuhi arahan dan spesifikasi pembuat.
  10. 10. Kerja – kerja pembaikan jentera haruslah dilakukan oleh mereka yang kompeten dan juga hendaklah mematuhi arahan pembuat.

Rujukan:-

  1. Guidelines For Public Safety and Health at Construction Sites, JKKP Malaysia.
  2. Safe use of lifting equipment. Lifting Operations and Lifting Equipment Regulations 1998.HSE UK.
  3. Safework SA , Government of South Australia.

 

 

Cetak Emel