doshheaderbm

  • Arkib Info KKP
  • 2011
  • Kemalangan Tongkang Cerucuk Laut
Slider

Kemalangan Tongkang Cerucuk Laut


Gambar 1: Kemalangan melibatkan Tongkang Cerucuk dan Tongkang Pengangkutan


Gambar 2: Lakaran sebelum kemalangan


Gambar 3: Lakaran selepas kemalangan

Satu kemalangan telah berlaku pada Jun 2011 yang melibatkan tongkang cerucuk di sebuah jeti persendirian di Pelabuhan Klang Selangor. Kemalangan ini menyebabkan kecederaan serius kepada seorang pekerja yang kemudiannya meninggal dunia di Hospital, manakala tiga lagi pekerja di rawat sebagai pesakit luar. Kesemua pekerja tersebut berada atau sedang bekerja di bahagian atas dek tongkang pengangkutan yang berlabuh di hadapan tongkang cerucuk tersebut.

Tongkang cerucuk tersebut telah dihantar kembali dari kerja menanam cerucuk di Melaka dan sedang melalui proses servis dan penyenggaraan silinder hidraulik pada luffing winch [arah portside dan starboard]. Setelah selesai kerja tersebut, pekerja telah diarahkan untuk menguji luffing winch pada kerangka luffing mast. Struktur luffing mast disokong oleh tali dawai pemegang pada struktur kerangka-A yang terdapat tiang cerucuk di hujungnya.

Dari temubual pekerja, ujian tersebut telah dilakukan sebanyak 4 kali. Ketika ujian sedang dijalankan, salah satu dari drum luffing winch [arah starboard] gagal secara tiba tiba dan tali dawai pada drum telah terkeluar semuanya dan putus pada sambungan terminalnya. Sambungan terminal tersebut yang berada di bahagian dalam drum telah gagal keseluruhannya. Kegagalan pada mekanisma drum luffing menjurus kepada keruntuhan kerangka luffing mast, struktur kerangka-A dan tiang cerucuk. Tongkang pengangkutan yang terletak di bahagian hadapan telah ditimpa oleh struktur tersebut.

Penyiasatan mendapati terdapat kerosakan teruk pada struktur utama luffing winch, Kerangka Luffing mast, Kerangka-A dan tiang cerucuk. Luffing winch bahagian starboard berdiameter 38mm telah terkeluar semuanya daripada drum dan putus kepada tiga bahagian.

Sistem luffing winch untuk tongkang cerucuk bergerak secara serentak dengan menggunakan satu tali dawai dan hujungnya ditambat pada kedua dua winch. Setiap winch menggunakan dua silinder hidraulik untuk mengawal sistem brek.

Cadangan Penambahbaikan

  • Pemilik atau penghuni tongkang cerucuk hendaklah memastikan sistem kerja selamat untuk kerja – kerja penyelenggaraan dan pengujian disediakan, didokumenkan dan diterangkan kepada para pekerja.
  • Peralatan/Bahagian tongkang yang tinggi dan boleh bergerak hendaklah di pastikan selamat untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak dingini semasa kerja – kerja penyelenggaraan.
  • Permit-To-Work (PTW) hendaklah disediakan, diisi dan dipatuhi sebelum melakukan sebarang kerja penyenggaraan pada tongkang cerucuk. PTW tersebut handaklah mengandungi Hazard Indentification, Risk Analysis and Risk Control [HIRARC] atau Job Safety Analysis [JSA] khusus untuk kerja yang akan dilakukan. PTW tersebut hendaklah memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, orang awam dan orang lain yang mungkin terjejas dengan kerja – kerja tersebut.
  • Semua kerja – kerja pemeriksaan, pelarasan, pembaikan dan penyenggaraan pada tongkang cerucuk hendaklah di lakukan dengan seliaan orang yang kompeten. Pekerja yang menjalankan kerja tersebut handaklah dilatih dan mempunyai pengalaman serta kemahiran melakukan kerja tersebut dengan selamat.
  • Sebarang kerja penyenggaraan atau pembaikan pada tongkang cerucuk hendaklah merujuk kepada Garis Panduan atau Koda Amalan Antarabangsa.
  • Pengujian struktur dan sistem tongkang cerucuk tidak boleh dijalankan dalam cuaca yang kurang baik.
  • Pemilik jeti hendaklah mempunyai kawalan ke atas kerja yang dilakukan untuk memastikan tempat kerja tersebut adalah selamat dan tiada risiko kepada kesihatan.

Cetak Emel