Breadcumb Caption
  • Arkib Info KKP
  • 2011
  • Satu Lagi Insiden Lif – Lif Kargo Petaling Jaya
Breadcumb Caption
  • Arkib Info KKP
  • 2011
  • Satu Lagi Insiden Lif – Lif Kargo Petaling Jaya

Satu Lagi Insiden Lif – Lif Kargo Petaling Jaya

Peringatan keselamatan ini dikeluarkan berdasarkan beberapa insiden lif yang hampir serupa yang berlaku di sekitar Lembah Kelang sekitar 4 bulan yang lalu. Insiden terkini berlaku pada penghujung Januari 2011, melibatkan sebuah lif barang (kargo) di sebuah kilang pembuatan di Petaling Jaya.

Lif barang ini digunakan untuk memunggah beberapa unit mesin dalam sela masa beberapa hari, dari aras 4 ke aras 3. Mesin – mesin tersebut terbahagi kepada beberapa saiz yang berlainan, namun secara amnya lif barang tersebut boleh memuatkan sehingga empat unit mesin pada satu – satu masa. Pada masa kejadian, beban lif barang tersebut dianggarkan 2100 kg, termasuklah berat 4 orang pekerja (anggaran 60 kg seorang). Lif barang tersebut direka untuk mengangkat kapasiti beban 2000 kg, dengan rekaan 2:1 roping system. Suis beban lampau (overload limit switch) diletakkan di hujung penamat tali penggantung (hoisting rope) di dalam bilik jentera lif (rujuk Rajah 1).

Rajah 1: Kedudukan suis beban lampau

Semasa kejadian, apabila lif barang yang sarat muatan tiba di aras 3, pintu lif barang dan pintu pendaratan (landing) terbuka untuk seketika. Tiba – tiba lif barang itu mula turun dan pintu lif barang mula tertutup. Salah seorang daripada pekerja (duduk paling hamper dengan pintu lif barang) cuba memanjat keluar dengan berpaut pada lantaian aras 3. Lif barang tersebut menggelongsor turun tanpa henti dan pekerja terbabit tidak dapat melepaskan dirinya. Akhirnya lif barang itu menghentak buffer dan mangsa telah dijumpai terbaring di atas kar lif dengan luka parah (rujuk Rajah 2).

Rajah 2: Lakaran kejadian, bermula dari jatuhan tanpa kawalan di Aras 4 sehingga ia akhirnya berhenti di Aras B1

Cadangan:

  1. Setiap Pemeriksa dan Orang Kompeten Lif adalah diperingatkan bahawa suis beban lampau adalah barisan pertahanan pertama bagi suatu siri peranti keselamatan untuk lif. Sekiranya peranti itu berfungsi dengan sempurna, ia akan memberikan operasi lif yang sentiasa selamat (fail-safe). Namun kebanyakan pengguna lif menggunakan penunjuk beban lampau (overload alarm indicator) sebagai penanda bagi beban kapasiti lif dan bolehguna (fit for use). Apabila lif gagal mengesan beban lampau secara berkala, ia akan mewujudkan satu siri perbuatan tidak selamat (unsafe act) dan keadaan tidak selamat (unsafe condition) yang seterusnya akan menjurus kepada kejadian yang tidak diingini.
  2. Syarikat penyelenggara lif haruslah memastikan suis beban lampau diselenggara dan ditentukur secara berkala, terutamanya sekiranya peranti tersebut mempunyai ketepatan yang rendah. Lif tersebut sepatutnya tidak beroperasi sekiranya peranti itu didapati tidak berfungsi dan memerlukan penggantian.
  3. Pengguna harus mengetahui tahap maksima beban yang dibenarkan dan tidak bergantung sepenuhnya sepenuhnya kepada pengaktifan suis beban lampau. Amalan meletakkan berat kasar pada beban atau barang yang hendak dipunggah adalah satu langkah yang baik dan dapat membantu pekerja membuat anggaran kasar jumlah beban yang mereka kendalikan.
  4. Sekiranya lif tidak berfungsi, penumpang yang berada di dalam lif berkenaan hendaklah tenang dan tidak melakukan perbuatan yang boleh membahayakan diri. Butang kecemasan pada papan kawal boleh digunakan bagi melaporkan situasi anda. Sila tunggu sehinggalah bantuan tiba.

Cetak Emel