Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2019
  • Dasar KKP Negara dilancar - Berita Harian Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2019
  • Dasar KKP Negara dilancar - Berita Harian Online

Dasar KKP Negara dilancar - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 28 Februari 2019

 BH 280219

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA,

malam ini. - Foto BERNAMA

 

SEPANG: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam ini melancarkan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara, dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar yang diluluskan Jemaah Menteri dan ditandatangani Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Januari lalu itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk KKP 2016-2020.

Dr Wan Azizah berkata, Dasar KKP Negara akan memandu kepada pematuhan perundangan KKP kepada semua pihak dan menjadi titik tolak kepada perubahan landskap KKP negara ini.

“Jika sebelum ini, komitmen terhadap isu KKP ini hanya lantang disuarakan pihak kerajaan tetapi selepas ini, pihak majikan dan pekerja juga akan bersama-sama komited dalam meningkatkan tahap KKP di tempat kerja mereka.

“Dasar KKP Negara ini mesti dihormati oleh majikan dan pekerja. Jika tidak, ini boleh mengakibatkan pelanggaran perundangan berkaitan KKP dan tindakan punitif akan diambil oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) seperti notis, sita, kompaun dan tindakan mahkamah di semua sektor pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 di sini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, timbalannya, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.

Dr Wan Azizah berkata, pelaksanaan Dasar KKP Negara oleh majikan akan melindungi pekerja daripada sebarang risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.

“Dasar ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, JKKP dalam fasa akhir untuk meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) bagi menambah baik peruntukan perundangan sedia ada.

Katanya, antara cadangan pindaan akta itu termasuk menaikkan jumlah penalti maksimum bagi pelanggaran peruntukan perundangan dan memperkenalkan peruntukan perundangan lebih terperinci bagi menjelaskan isu penting yang sering berbangkit seperti kewajipan kontraktor utama dan orang yang kompeten.

“Saya berharap pindaan akta ini dapat diluluskan Parlimen tahun ini supaya penguatkuasaan yang berkesan dan tegas dapat dilakukan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 28 pemenang terdiri daripada organisasi dan individu menerima pengiktirafan dalam pelbagai kategori atas komitmen dan prestasi cemerlang mereka dalam pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di tempat kerja.

 

 

 

 

Cetak Emel