doshheaderbm

  • Arkib Berita
  • 2018
  • 10 kes kematian di tempat kerja - Utusan Online
Slider

10 kes kematian di tempat kerja - Utusan Online

Utusan Online, 1 November 2018

 

REMBAU 1 Nov. - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri mencatatkan sebanyak 10 kes kemalangan maut di tempat kerja bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, daripada jumlah tersebut, tiga kematian melibatkan sektor perkilangan terutama industri pembuatan.

“Kematian pekerja adalah ketika mengendalikan mesin atau jentera di kilang. Faktor kemalangan berlaku antaranya disebabkan kecuaian mangsa menggunakan mesin atau jentera walaupun majikan telah menyediakan panduan bagi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Bengkel Pematuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi Penyelaras KKP di sektor industri kecil dan sederhana (IKS) peringkat negeri di Institut Latihan dan Perindustrian Pedas, di sini.

Yang turut hadir Pengarah JKKP negeri, Izani Mohd. Zain.

Mengulas lanjut, Arul Kumar berkata, kemalangan maut di tempat kerja turut melibatkan sektor perkhidmatan awam dan kuari dengan masing-masing dua kes, selain satu kes bagi sektor pembinaan, pengangkutan serta perkhidmatan perniagaan.

Ujarnya, bagi kemalangan melibatkan hilang upaya kekal, sebanyak sembilan kes dilaporkan melibatkan lima kes di sektor perkilangan dan pembuatan serta masing-masing satu kes bagi sektor penyimpanan, pembinaan, pertanian dan pengangkutan.

Sementara itu dalam majlis berkenaan, seramai 69 peserta IKS menerima sijil Penyelaras KKP selepas menamatkan tiga bengkel yang dikendalikan JKKP negeri sepanjang tahun ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Cetak Emel