• Arkib Berita
  • 2016
  • Bahan kimia tumpah, pelajar diarah kosongkan bangunan - Utusan Online
Slider

Bahan kimia tumpah, pelajar diarah kosongkan bangunan - Utusan Online

Utusan Online, 01 September 2016

 

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pelajar dan guru yang sedang dalam sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Islam IQKL di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, di sini gempar apabila diarah mengosongkan bangunan selepas berlaku kebocoran bahan kimia di bilik makmal sekolah, sebentar tadi.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.45 petang sebelum Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun dan KLCC tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku selepas balang yang berisi 2.5 liter asid nitrik mengalami keretakan.

“Pihak bomba telah mengarahkan penghuni sekolah untuk mengosongkan bangunan supaya kita dapat menjalankan operasi menabur pasir untuk meneutralkan kembali asid berkenaan. Tiada sebarang kecederaan mangsa dilaporkan,” katanya di sini hari ini.

Tambah jurucakap tersebut, setakat pukul 3.15 petang ini, sebanyak 65 peratus kepekatan asid telah berjaya dineutralkan dan operasi masih diteruskan bagi memastikan keadaan selamat. - UTUSAN ONLINE

Cetak Emel