• Arkib Berita
  • 2016
  • 102 pekerja asing tiada Kad Hijau - Utusan Online
Slider

102 pekerja asing tiada Kad Hijau - Utusan Online

Utusan Online, 01 April 2016

news uo 010416
Sebahagian daripada buruh asing yang ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah projek pembinaan di Ampang Jaya, Selangor, semalam

AMPANG JAYA 31 Mac – Sejumlah 102 buruh asing ditahan ekoran tidak memiliki Kad Hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam operasi bersepadu bersama tujuh agensi di sebuah projek pembinaan di sini.

Pengarah CIDB Selangor, Mohd. Zaid Zakaria berkata, sebanyak 117 pekerja diperiksa, selain 300 lagi pekerja asing gagal dikesan, termasuk meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Jelasnya, operasi itu melibatkan Jabatan Imigresen, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Selangor dan lain-lain.

“Kami mendapati tiga buah kontraktor sub tidak berdaftar dengan CIDB dan notis pemberhentian kerja berkuat kuasa serta-merta. Kebanyakan pekerja asing tidak memiliki Kad Hijau dipercayai majikan mereka diperdaya ejen yang menguruskan pendaftaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan bersepadu ke tapak pembinaan sekitar Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad.

Menurut Mohd. Zaid, pihak CIDB menyediakan kursus secara percuma, selain pembayaran Kad Hijau yang bertujuan melindungi kebajikan pekerja asing hanya berjumlah RM50.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat pembiakan nyamuk di setiap blok projek pembinaan tersebut dan dikenakan notis pemberhentian kerja.

“Kesalahan lain, termasuk tiga pekerja tidak kompeten mengendalikan kren menara, pembinaan gerai makan tanpa kelulusan MPAJ dan pejabat urusan projek itu tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada struktur bangunan itu,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 20,528 pekerja binaan tidak berdaftar dengan CIDB dan tidak memiliki Kad Hijau daripada 68,700 pekerja yang diperiksa.

 

Cetak Emel