doshheaderbm

  • Arkib Berita
  • 2015
  • Perlombongan bauksit jejas kesihatan orang ramai - Utusan Online
Slider

Perlombongan bauksit jejas kesihatan orang ramai - Utusan Online

Utusan Online, 09 Mac 2015

 

news 09032015 uo

 Sebahagian penduduk yang tinggal di Jalan Pintasan Kuantan - Pelabuhan berpiket bagi membantah kawasan perumahan mereka dijadikan laluan lori membawa bauksit dekat Kuantan, semalam. – Utusan/MAHATHIR ALI

 

KUANTAN 8 Mac – Seakan-akan tiada pemantauan apabila pengusaha bauksit terus ghairah mengeluarkan hasil lombong itu di beberapa kawasan di bandar ini sehingga mengabaikan kepentingan kepada alam sekitar, kesihatan dan keselamatan penduduk.

Antara yang terjejas teruk, penduduk Taman Datuk Rashid, Taman Beserah Permai dan Kampung Jeram di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan di sini.

Seorang penduduk di Kampung Jeram, Aziman Abdullah, 44, berkata, kawasan berdekatan rumahnya yang dahulunya merupakan kebun durian kini giat dikorek untuk perlombongan bahan mineral itu.

Menurutnya, perlombongan bauksit di situ semakin aktif dengan pihak terbabit akan mula beroperasi seawal pukul 4 pagi sehingga ke tengah malam.

“Masalah utama yang membelenggu kami (penduduk) di sini adalah habuk dan jalan rosak akibat lori pengusaha bauksit hinggakan kami di sini yang turut melalui laluan sama menghadapi kesukaran untuk keluar ke Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan.

“Saya difahamkan di sini terdapat kira-kira 14 pemilik, bayangkan jika setiap mereka ada 10 lori maknanya keseluruhannya terdapat 140 lori menggunakan laluan di sini yang sudah jadi seperti lebuh raya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 100 penduduk dari ketiga-tiga kawasan itu berkumpul dan membuat bantahan aman berdekatan tapak perlombongan bauksit di situ bagi meminta pihak berwajib memandang serius perkara berkenaan.

Seorang penduduk dari Taman Beserah Permai, Musmuliyadi Abd. Rahman, 38, pula berkata, dia dan keluarga kecewa kerana perlombongan bauksit dibenarkan dilakukan berhampiran kediaman.

“Saya cukup terjejas, rumah saya betul-betul berhadapan jalan yang dilalui lori-lori bauksit ini. Ketika cuaca panas, habuk begitu banyak sehingga masuk ke dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Datuk Rashid, Muhamad Saidi Ali berkata, tiga masalah utama membelenggu penduduk di taman tersebut dan kawasan sekitarnya iaitu persekitaran, kesihatan dan keselamatan.

“Kami tidak mahu masalah ini terus membelenggu penduduk, kami harap pihak berwajib segera bertindak. Pihak pengusaha bauksit juga diminta berkerjasama.

Cetak Emel