Breadcumb Caption
  • Resources
  • Archive
  • Archive News
  • 2011
  • Pekerja sektor perladangan, industri terdedah bahaya kesihatan
Breadcumb Caption
  • Resources
  • Archive
  • Archive News
  • 2011
  • Pekerja sektor perladangan, industri terdedah bahaya kesihatan

Pekerja sektor perladangan, industri terdedah bahaya kesihatan

Utusan Online, 1 Disember 2011

news 01122011

Mohamad Razak Ismail menerima cenderahati daripada Roslenda Hasan pada Seminar Sistem Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS) 2011 di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU, 30 Nov - Golongan pekerja dalam sektor perladangan dan industri dikenal pasti berisiko tinggi terdedah kepada masalah kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah, Ir. Mohamad Razak Ismail berkata, keadaan itu berlaku kerana pekerja sektor tersebut terdedah dengan bahan kimia dan persekitaran kerja terbuka.

"Keadaan ini berbahaya lebih-lebih lagi jika majikan tidak menyediakan kelengkapan keselamatan seperti penutup mulut dan hidung untuk pekerja yang terdedah dengan udara yang mengandungi habuk dan bahan kimia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sistem Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS) 2011, Tata Amalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 dan Garis Panduan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Kepada Kesihatan Secara Generik (Generik CHRA) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kimia, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Sabah, Roslenda Hasan.

Mohamad Razak berkata, selain itu, sistem pengurusan keselamatan dan kawalan yang tidak cekap oleh majikan juga menyumbang kepada berlakunya kes-kes tidak diingini.

Kata beliau, antaranya adalah kes kemalangan kecil, kemalangan upaya kekal dan maut.

"Di Sabah, kes kemalangan kecil dan kemalangan upaya kekal masing- masing mencatatkan angka tertinggi dalam tempoh dua tahun iaitu sebanyak 195 (2009) dan 143 (2010) manakala maut pula 46 kes bagi kedua-dua tahun.

"Bagaimanapun, ketiga-tiga kes tersebut menunjukkan penurunan ketara iaitu sebanyak 13 kes kemalangan kecil, kemalangan upaya kekal (satu) dan maut pula 30 kes pada tahun ini," katanya. 

Sementara itu, Mohamad Razak berkata, jumlah kompaun yang dikenakan kepada majikan di Sabah bagi tahun 2009 hingga 2011 (setakat November) turut menunjukkan peningkatan.

Katanya, pada 2009 pihaknya mengeluarkan sejumlah sembilan kompaun dengan kutipan sebanyak RM5,500 dan masing-masing 19 dan 34 kes dengan jumlah kutipan RM46,000 dan RM70,500 bagi 2010 dan 2011.

Print Email