Tiga mati 24 cedera bangunan runtuh di Thailand 1352
ANGGOTA penyelamat menggunakan kren ketika melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa bangunan runtuh di Pathum Thani, Thailand, semalam. - AFP

BANGKOK 12 Ogos - Sekurang-kurangnya tiga orang pekerja binaan maut, sementara 24 yang lain cedera apabila sebuah bangunan kondominium enam tingkat yang dalam pembinaan, runtuh di daerah Thanyaburi, wilayah Pathum Thani, petang semalam.

Pegawai kesihatan melaporkan, sebanyak enam lagi pekerja binaan dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan projek U-Place Kondominium itu, yang bakal menjadi asrama kolej vokasional.

Ketika kejadian, sebanyak 33 buruh dipercayai berada di lokasi tersebut dengan 24 daripadanya ialah rakyat tempatan, sementara baki sembilan lagi ialah warganegara asing.

Bangunan tersebut runtuh kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan semalam, memaksa pihak penyelamat menggunakan kren untuk menyelamat mangsa yang terperangkap.

Saksi-saksi menyatakan, bangunan itu runtuh ketika kerja-kerja menuang konkrit dijalankan di tingkat paling atas kondominium berkenaan.

Seorang pegawai polis yang enggan dikenali berkata, punca kejadian sedang disiasat.

Jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree pula berkata, tentera diarahkan untuk menyertai usaha menyelamat dan setakat ini bilangan mangsa sebenar tidak dapat disahkan. - AFP