Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Gantung lesen kontraktor cuai
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Gantung lesen kontraktor cuai

Gantung lesen kontraktor cuai

MyMetro Online, 8 Ogos 2014

Kuala Lumpur: Kontraktor penyelenggaraan lif yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) tetapi dilapor gagal menjalankan aspek penyelenggaraan dengan baik boleh dikenakan tindakan termasuk lesen digantung atau didenda.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, Ahmad Fauzi Awang yang pernah menyiapkan laporan 53 muka surat mengenai tahap keselamatan lif di rumah pangsa kos rendah di Wilayah Persekutuan tiga tahun lalu bagaimanapun berkata, ia masih bergantung kepada laporan yang diterima daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) premis kediaman berkenaan.

“Saya melihat kes kemalangan lif berlaku berulang kali walaupun JMB sudah maklum bahawa syarikat penyelenggaraan yang bermasalah sehingga gagal melakukan penyelenggaraan lif setiap tiga bulan sekali diadukan kepada JKKP untuk dikenakan tindakan undang-undang.

“JMB yang bertanggungjawab akan memastikan lif di rumah pangsa diselenggara dengan baik oleh syarikat yang dilantik, sekali gus mengelak penduduk menjadi mangsa lif rosak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Akhbar ini sebelum ini menyiarkan beberapa siri laporan khas mengenai penggunaan peralatan dan teknologi lapuk yang menjadi punca utama lif di rumah pangsa di ibu kota kerap rosak dan menimbulkan ancaman keselamatan kepada puluhan ribu penghuninya.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrik, Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu Bumiputera Malaysia (PERKEM) Mohsen Hasbollah berdasarkan pengalaman pihaknya menyelenggara lif di kawasan perumahan terbabit.

Susulan itu, Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan meminta PERKEM mengemukakan laporan berkaitan penyelenggaraan lif di rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dikatakan menggunakan peralatan dan teknologi lapuk kepada kementerian itu secepat mungkin.

Permintaan itu bagaimanapun dibidas Mohsen dengan alasan sudah terlalu banyak kejadian lif kerap rosak atau keadaan lif yang terlalu uzur hingga membahayakan nyawa pengguna didedahkan media dan kementerian sepatutnya mengambil tindakan proaktif tanpa perlu menunggu aduan rasmi.

Dalam kejadian terbaru kelmarin, empat penghuni flat Sri Sabah di Jalan Ikan Ayu di sini terperangkap hampir 40 minit di dalam lif di tingkat 15 yang tiba-tiba berhenti manakala tangan seorang daripada mangsa pula tersepit pada celah pintu lif hingga mengakibatkan tangan mangsa, Sum Kai Cin, 22, patah.

Pemeriksaan bomba mengesahkan satu pintu lif berkenaan rosak menyebabkan terdapat ruang di celah pintu itu.

Mengulas lanjut Ahmad Fauzi berkata, kebiasaannya JKKP hanya mengetahui tahap keselamatan lif terbabit apabila melakukan pemeriksaan iaitu ketika permohonan Sijil Layak Menduduki (CF) dipohon pihak berkenaan.

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Print Email