JOHOR BAHRU 26 Ogos - Jumlah kemalangan maut di tempat kerja di negeri ini meningkat sebanyak 50 peratus setakat ini berbanding tahun lalu dengan kebanyakannya berlaku di tapak pembinaan.
Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Omar Mat Piah berkata, setakat ini kemalangan maut yang dicatatkan adalah sebanyak 42 kes berbanding 28 kes direkodkan tahun lalu.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, jumlah keseluruhan kemalangan di tempat kerja yang dicatatkan adalah lebih 700 kes dan bilangan sama direkodkan setakat ini pada tahun ini.
"Peningkatan tersebut nyata membimbangkan, namun kita terus giat menganjurkan program berkaitan keselamatan di tempat kerja secara agresif dalam usaha memastikan kesedaran mengenai perkara itu.
"Kita turut melawat ke tapak pembinaan untuk memastikan keselamatan pekerja," katanya selepas majlis perasmian Persidangan Meja Bulat Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad di sini hari ini.
Omar berkata pihaknya juga berjaya mengheret 31 majikan yang cuai ke mahkamah dan mereka turut dikenakan denda.
Sementara itu, Normala mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk memberi pelepasan cukai kepada peralatan yang digunakan di tempat kerja seperti topi keledar, kasut, sarung tangan dan topeng muka.
Ini kerana katanya, bagi sesetengah keadaan, barangan tersebut merupakan keperluan bagi memastikan keselamatan pekerja.
"Saya difahamkan jumlah yang diperuntukkan untuk tujuan itu juga besar, namun jumlahnya mungkin menjadi beban kepada syarikat kecil, sekali gus diharap dengan langkah itu usaha memastikan keselamatan di tempat kerja dapat diperhebatkan," katanya.