JOHOR BAHRU 7 Ogos - Majikan di negeri ini digesa memberi sepenuh perhatian kepada aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ekoran statistik kemalangan dan kejadian kecemasan yang berlaku di lokasi berkenaan semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan berkata, statistik tahun ini sehingga Julai menyaksikan sebanyak 667 kes kemalangan di tempat kerja dengan 38 kes melibatkan kematian.

Beliau berkata, jika dibandingkan kes kemalangan maut, situasi itu amat membimbangkan kerana pada tahun lalu, sebanyak 28 kes direkodkan manakala tahun 2012 hanya melibatkan 26 kes kematian.

"Jumlah tersebut biarpun nampak biasa, namun agak membimbangkan dan kita khuatir jika tidak diambil perhatian dan tindakan sewajarnya, akan terus meningkat, sekali gus memberi kesan kepada tahap produktiviti dan daya saing sesebuah organisasi.

"Setiap majikan perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam aspek penjagaan keselamatan dan kesihatan terutama melibatkan penggunaan bahan kimia berbahaya, pengurusan keselamatan kebakaran dan pengurusan sistem keselamatan, sekali gus membantu dalam merencanakan tindakan susulan sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Perusahaan Kecil dan Sederhana Zon Selatan 2014 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKKP Johor, Omar Mat Piah.

Tambah Vidyanathan, dalam tempoh yang sama tahun ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah mengambil tindakan undang-undang terhadap 31 majikan, mengeluarkan 77 kompaun, 1,189 notis pembaikan dan 1,713 surat amaran.

Menurutnya, komitmen berterusan perlu diterapkan di sanubari setiap majikan dan pekerja bagi mencegah kemalangan, penyakit pekerjaan mahupun kejadian berbahaya yang boleh berlaku kepada pekerja.

"Kejadian kemalangan di tempat kerja banyak memberikan kesan buruk kepada negara amnya serta organisasi terlibat khususnya kerana majikan perlu menanggung kos sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini itu," katanya lagi.