Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Gerai medan selera meletup
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Gerai medan selera meletup

Gerai medan selera meletup

Utusan Online, 3 April 2014

 

news 03042014 uo
Kesan kebakaran akibat tumpahan minyak petrol dari Stesen Shell di Jalan Persiaran Raya Gua Musang, Kelantan, malam semalam. - BERNAMA

GUA MUSANG 3 April - Seorang kritikal, dua parah manakala lapan lagi cedera serta melecur akibat disambar api, apabila sebuah gerai di medan selera meletup dan terbakar dipercayai berpunca daripada pengaliran minyak dari sebuah stesen minyak Shell berdekatan, malam tadi.

Dalam kejadian di Dataran Shell, Pesiaran Raya di sini pukul 10.10 malam itu, mangsa yang kritikal ialah Muhamad Azman Hamat, 18, yang melecur hampir seluruh badan dan kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Dua lagi mangsa yang cedera parah ialah dua pelajar Kolej Poly-Tech Mara Gua Musang, Tengku Ahmad Afqih Tengku Abdullah, 20, dan Nurulisyah Mohd. Yusof, 20. Kedua-duanya dirawat di hospital yang sama.

Lapan mangsa yang cedera ringan ialah Nor Azila Amira, 23, Nor Marisah Mohd. Yusuf, 20, Nor Asyikin Mohd. Salleh, 20, Mohd. Shair Hafizi, 24, Mohd. Zul Idzhar Akmal, 16, Dayang Nor Ilyani, 23, Mohamad Quizuel Hakim Bahri, 20, dan Siti Zabariah Idris, 53.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada pengaliran minyak ketika sebuah lori tangki sedang mengisi minyak di tangki simpanan bawah tanah di sebuah stesen di atas bukit, bersebelahan medan selera berkenaan.

“Kita percaya ada minyak mengalir turun ke medan selera di bawah sehingga disambar api dari dapur sebuah gerai di medan selera tersebut sebelum meletup dan terbakar.

“Api merebak mengikut laluan minyak itu dan kesannya dapat dilihat dengan jelas. Namun mujurlah pemandu dan kelindan lori berjaya memadamkan api daripada merebak ke lori tangki itu bagi mengelak kejadian lebih buruk," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Menurut Saiful Bahri, kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Katanya, kejadian itu turut memusnahkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV), dua kereta dan dua motosikal.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan tangki simpanan minyak di bawah stesen tersebut bocor namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 2 Machang, Che Rusli Sulaiman berkata, dua jentera bomba dengan 10 anggota penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian.

 

 

Print Email