Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Jumlah majikan dikompaun abai keselamatan pekerja terus bertambah
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Jumlah majikan dikompaun abai keselamatan pekerja terus bertambah

Jumlah majikan dikompaun abai keselamatan pekerja terus bertambah

Utusan Online, 12 Julai 2013

news 12072013 Ir. Mohamad Razak Ismail (kiri) ditemani Mariam Hassan (dua dari kiri) dan Mohd. Husin Abdul Salam melakukan gimik
perasmian seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Pelancongan peringkat negeri di Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.

KOTA KINABALU 11 Julai - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sabah mengutip kompaun sebanyak RM330,000 ke atas pengendali hotel dan restoran di seluruh negeri ini sejak 2009 yang gagal memastikan aspek keselamatan di premis berkenaan.

Pengarahnya, Ir. Mohamad Razak Ismail berkata, tindakan proaktif yang dijalankan oleh pihak jabatan menyaksikan peningkatan jumlah kompaun iaitu daripada hanya sembilan kompaun pada 2009 melibatkan kutipan denda sebanyak RM5,500.

Katanya, jumlah itu terus mencatat peningkatan pada 2010 apabila 22 kompaun dikeluarkan dengan jumlah RM46,000, manakala sebanyak 37 kompaun pada 2011 yang melibatkan denda berjumlah RM78,000.

"Bagi tahun lalu, JKKP Sabah mengeluarkan 59 kompaun berjumlah RM200,500 kepada majikan yang ingkar mematuhi peruntukan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di premis masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Pelancongan peringkat negeri di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Mariam Hassan dan Pengurus Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Sabah, Mohd. Husin Abdul Salam.

Tambah Mohamad Razak, pendakwaan terhadap majikan di mahkamah juga meningkat dalam tempoh sama iaitu enam kes melibatkan denda berjumlah RM34,600 pada 2009; 19 kes dengan nilai RM103,500 pada 2010 dan 22 kes dengan jumlah RM158,000 pada 2011.

"Bagi 2012, sebanyak 29 kes mahkamah melibatkan denda berjumlah RM368,500 di seluruh negeri," katanya.

Sementara itu, melalui tindakan proaktif jabatan juga menyaksikan sehingga tahun lalu sebanyak 719 buah tempat kerja telah didaftarkan dengan pihak JKKP.

Katanya, sebanyak 165 buah tempat kerja telah diaudit oleh pihak jabatan pada tahun lalu dan daripada jumlah itu sebanyak 150 surat arahan dan 59 notis telah dikeluarkan.

"Sehingga Jun lalu, sebanyak 108 buah hotel dan restoran diaudit bagi memastikan keselamatan pelancong dan pekerja terjamin, sekali gus menyaksikan terdapat aspek pematuhan undang-undang.

"Terdapat peningkatan dalam gred pematuhan undang-undang pada tahun lalu apabila sebuah premis mencatat Gred A iaitu keputusan cemerlang manakala 79 buah hotel dan restoran diletakkan dalam Gred B iaitu baik.

"Sebanyak 20 buah premis lagi berada dalam Gred C iaitu memuaskan, diikuti 50 premis dalam kategori D (memuaskan) dan 15 buah Gred E (tidak memuaskan)," katanya.

 

Print Email