Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Lif rosak: Penduduk tanggung 20 peratus kos
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Lif rosak: Penduduk tanggung 20 peratus kos

Lif rosak: Penduduk tanggung 20 peratus kos

Utusan Online, 14 Jun 2013

SHAH ALAM 13 Jun - Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak lagi menanggung 100 peratus kos membaik pulih kemudahan lif di tiga buah pangsapuri di sekitar negeri ini yang didapati rosak akibat perbuatan vandalisme meskipun telah dibaiki dengan kos hampir RM1.63 juta sejak 2010.

Kerja-kerja membaik pulih tersebut melibatkan lif-lif di Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya dengan kos sebanyak RM557,300, Pangsapuri Taman Permai Indah, Klang (RM600,000) dan Pangsapuri Taman Ampang Mewah, Ampang (RM480,000).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, bagi Pangsapuri Taman Permai Indah, kerja-kerja membaiki lapan buah lif telah dimulakan pada 22 Mac 2010.

Beliau memberitahu, setelah kerja-kerja membaik pulih berakhir, Sijil Perakuan Siap Kerja telah dikeluarkan kepada lapan buah lif itu secara berperingkat iaitu pada 27 Julai, 7 Julai, 10 Ogos dan 22 November 2010.

"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pula telah mengeluarkan Sijil Perakuan Kelayakan Mesin Angkat (PMA) untuk mengesahkan bahawa lif tersebut selamat untuk digunakan pada 29 Disember 2010.

"Bagaimanapun, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah melakukan semakan inventori secara menyeluruh untuk bangunan bertingkat di seluruh negeri Selangor pada bulan November 2011.

"Hasil semakan pada 29 November 2011 mendapati enam unit lif di Pangsapuri Taman Permai Indah telah rosak manakala dua unit lagi dalam keadaan yang tidak memuaskan dan pemerhatian menunjukkan kerosakan lif-lif itu berpunca daripada perbuatan vandalisme," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Pada 9 Jun lalu, penduduk Taman Permai Indah, Pandamaran Jaya menuntut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri bertanggungjawab atas kehilangan peralatan membaiki lif di pangsapuri mereka bernilai RM1.5 juta pada 2010.

Presiden Persatuan Kemajuan India Malaysia (PKIM), A. Prakash, 41, mendakwa, penduduk sudah membuat pelbagai tindakan termasuk menghantar notis kepada Abdul Khalid dan kerajaan negeri sejak kejadian itu berlaku empat tahun lalu, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

Jelas beliau, ekoran daripada aduan dan notis mereka tidak dilayan kerajaan negeri, pihaknya membuat laporan polis di Balai Polis Pandamaran di sini.

Iskandar menegaskan, kerajaan negeri telah menyerahkan lif-lif tersebut kepada penduduk melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam keadaan baik dan perkara tersebut telah disahkan oleh JKKP.

"Adalah menjadi tanggungjawab JMB dan penduduk untuk memastikan lif-lif tersebut disenggara dengan baik selepas itu. Selepas pengalaman di Pangsapuri Taman Permai Indah, kerajaan negeri tidak lagi menanggung 100 peratus sebarang kos baik pulih," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri telah mewujudkan Program Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Ceria) dengan kerajaan negeri menanggung 80 peratus daripada kos manakala penduduk menanggung baki 20 peratus lagi kos yang boleh dibayar secara ansuran.

"Kerajaan negeri berpandangan, sekiranya penduduk menanggung sebahagian daripada kos baik pulih, maka mereka akan menjaga kemudahan-kemudahan yang dibaik pulih dengan baik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menawarkan lif-lif di Pangsapuri Taman Permai Indah dibaik pulih di bawah Ceria.

"Bagaimanapun, masalah vandalisme perlu diselesaikan terlebih dahulu. Tidak ada gunanya membaik pulih lif-lif tersebut tetapi akan dirosakkan selepas itu. Di dalam hal ini, JMB perlu memainkan peranan besar. Pegawai Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbadanan Klang (MPK) akan diarah membantu JMB.

"Kerajaan negeri (Selangor) juga akan memulakan kajian dari sudut perundangan bagi membantu JMB mendakwa pelaku-pelaku vandalisme di mahkamah.

"Kerajaan negeri telah melancarkan kempen untuk membanteras vandalisme pada penggal yang lalu. Masanya telah tiba untuk mengambil tindakan tegas," kata beliau.

Tambah Iskandar, kerajaan negeri juga telah mewujudkan Skim Rondaan Kejiranan (Seroja) bagi membanteras perbuatan vandalisme di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

"Di dalam skim yang serupa seperti Rukun Tetangga itu, penduduk akan membuat rondaan di kawasan pangsapuri mereka dan kerajaan negeri akan menanggung kos-kos rawatan perubatan sekiranya berlaku kemalangan atau sebarang musibah," katanya.

 

Print Email