Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • JKKP terbit buku garis panduan pengamal media
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • JKKP terbit buku garis panduan pengamal media

JKKP terbit buku garis panduan pengamal media

Utusan Online, 13 Jun 2013

NUSAJAYA 12 Jun - Demi menjamin keselamatan dan kesihatan pengamal media di negara ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia menerbitkan buku panduan menggariskan amalan keselamatan semasa menjalankan tugas.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, garis panduan tersebut amat penting bagi membantu pihak pengurusan sesebuah organisasi media terutama dalam perancangan dan penyediaan tugasan sebelum menghantar kakitangannya untuk membuat liputan berita.

Katanya, buku itu juga diterbitkan ekoran insiden yang menimpa jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut terkena tembakan rambang ketika membuat liputan berita di Mogadishu, Somalia pada 2011.

"Kejadian tersebut masih segar di ingatan umum, khususnya petugas media dan JKKP mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan garis panduan bagi mengelak tragedi sama berulang.

"Sekurang-kurangnya, garis panduan ini dapat membuka pandangan dan minda pengamal media untuk melakukan tugas dengan selamat dan sihat," katanya ketika mempengerusikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Media di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKKP negeri, Omar Mat Piah dan Ketua Pusat Kecemerlangan Ergonomik, Raemy Md. Zin.

Menurut Lam Thye, seminar tersebut adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat NIOSH kepada golongan media yang selama ini banyak berkorban demi kepentingan rakyat dalam menyampaikan berita.

"Terdapat bermacam-macam maklumat di dalam garis panduan tersebut seperti teknik pertolongan cemas, tindakan kecemasan, analisis risiko tugasan, pengenalan kepada peralatan perlindungan diri dan sebagainya bagi persediaan langkah keselamatan dan kesihatan yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

"Ini kerana pemberita sentiasa bergerak pantas mencari bahan berita tanpa mengira masa, situasi dan lokasi. Oleh itu, garis panduan ini wajar diterbitkan agar mereka dilindungi," tambahnya.

Print Email