Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Kemalangan di tempat kerja berkurangan
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Kemalangan di tempat kerja berkurangan

Kemalangan di tempat kerja berkurangan

Berita Harian, 13 Mei 2013

Kuala Lumpur: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mengunjurkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pekerja dan majikan, berhubung keselamatan di tempat kerja yang mampu mengurangkan kos perniagaan dalam jangka panjang.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perubahan itu dilihat menerusi nisbah kemalangan di tempat kerja negara ini, menurun kepada 3.3 kemalangan daripada 1,000 pekerja pada tahun lalu daripada 10.5 kemalangan pada 2002.

Katanya, peningkatan dalam suasana keselamatan di tempat kerja itu sebahagiannya disumbang oleh pelaksanaan Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja 1994 selain peningkatan kesedaran dalam kalangan majikan dan juga golongan pekerja.

Tingkat kesedaran

“Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan kerajaan, majikan dan pekerja bagi meningkatkan lagi taraf keselamatan tempat kerja di negara ini terutama dengan mempunyai sikap sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Walaupun kita mempunyai undang-undang yang menyediakan mekanisme untuk memantau keselamatan pekerja, ia tidak akan membuahkan hasil optimum jika pekerja dan majikan tidak mengambil berat soal keselamatan,” katanya kepada BH selepas merasmikan Minggu Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Gleneagles, di sini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Gleaneagles Kuala Lumpur, Amir Firdaus Abdullah. Acara itu dianjurkan sejajar dengan sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedia dan Matlamat Pesakit Antarabangsa yang berlangsung kelmarin, di seluruh dunia.

Sementara itu, mengulas mengenai kepentingan aspek keselamatan tempat kerja, Amir Firdaus berkata, pematuhan kepada amalan itu membolehkan syarikat mengalami peningkatan produktiviti dalam kalangan pekerjanya, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan syarikat secara tidak langsung.

“Bagi kami, aspek keselamatan dan kesihatan pekerja tidak terhad di tempat kerja, malah membabitkan pengurusan kesihatan mental dan keselamatan pekerja sewaktu tidak bekerja,” katanya.

Print Email