Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Sektor pembuatan catat peratus kemalangan tertinggi
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Sektor pembuatan catat peratus kemalangan tertinggi

Sektor pembuatan catat peratus kemalangan tertinggi

Utusan Online, 12 May 2013

 

SUNGAI PETANI 12 Mei - Sektor pembuatan mencatatkan peratus kemalangan paling tinggi berbanding sektor lain iaitu hampir 27 peratus daripada 61,552 jumlah kemalangan direkodkan di tempat kerja pada 2012.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zabidi Md. Adib berkata, sektor perkhidmatan mencatatkan 22 peratus kemalangan di tempat kerja, pembinaan (lapan peratus) dan bakinya dalam sektor lain.

Katanya, memandangkan sektor pembuatan mempunyai bilangan pekerja paling ramai berbanding sektor lain, syarikat dalam sektor pembuatan perlu meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.

"Mereka perlu lebih aktif memainkan peranan dalam jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerja di syarikat masing-masing.

"Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian kita kebelakangan ini, tahap kesedaran dalam kalangan majikan dan pekerja semakin meningkat, cuma kita mahu kerjasama antara mereka lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini semalam. Zabidi berkata, walaupun kadar kemalangan maut dan kecederaan di tempat kerja menurun dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, majikan dan pekerja tidak sewajarnya bersikap sambil lewa.

Katanya pada tahun lepas, kadar kemalangan di tempat kerja adalah 3.31 peratus/1,000 pekerja, menurun berbanding 3.4 peratus/1,000 pekerja yang dicatatkan pada 2011.

Kadar kemalangan maut di tempat kerja pada 2012 pula 4.64 peratus/100,000 pekerja berbanding 6.17 peratus/100,000 pekerja pada 2011, kata Zabidi.

Terdahulu dalam ucapannya Zabidi berkata, JKKP menggalakkan majikan dan pekerja mengambil bahagian secara proaktif dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerja bagi memastikan tempat kerja mereka kondusif untuk bekerja agar kualiti dan produktiviti dapat ditingkatkan.

Seminar sehari itu dihadiri hampir 300 pekerja pelbagai sektor dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Turut hadir Pengarah JKKP Kedah Mohamad Jais Suratman. — BERNAMA

Print Email