mobile header ms01

Pengenalan

Bahan kimia digunakan secara meluas di seluruh dunia termasuklah di Malaysia kerana penggunaan bahan kimia dapat membantu untuk memperbaiki kehidupan seharian dan mendatangkan pelbagai faedah kepada manusia. Walaupun dapat membantu memperbaiki kehidupan harian, sesetengah bahan kimia boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan kesihatan manusia dan juga persekitaran. Ancaman ini boleh mendatangkan kesan akut atau kronik, yang mana penawarnya adalah hampir mustahil.

Antara beberapa contoh bahan kimia yang telah dibuktikan berbahaya kepada kesihatan melalui kajian adalah asbestos, benzene dan formaldehid. Agensi seperti The U.S. Department of Health and Human Services, the EPA, dan The International Agency for Research on Cancer (IARC) telah mengelaskan asbestos sebagai bahan yang boleh menyebabkan kanser kepada manusia. Di Malaysia, asbestos masih digunakan sebagai bahan binaan dan komponen kenderaan. Ini berpotensi untuk meningkatkan risiko penyakit seperti kanser paru-paru dan asbestosis kepada sekumpulan besar pekerja industri negara. Benzena pula, salah satu bahan yang digunakan untuk menghasilkan polimer dan plastik, juga telah dikelasifikasikan sebagai bahan kimia karsinogen oleh agensi-agensi yang sama. Satu lagi bahan kimia yang baru dikelaskan sebagai karsinogen oleh IARC pada tahun 2011 ialah formaldehid, bahan kimia yang sering digunakan untuk menghasilkan bahan pelekat di negara ini. Jumlah pekerja yang terlibat dalam pembuatan dan pengendalian bahan-bahan kimia yang berbahaya kepada kesihatan adalah amat besar dan disebabkan itu, kebajikan mereka perlulah dititikberatkan.

Di sinilah kami, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, perlu memainkan peranan untuk melindungi pekerja dan juga orang ramai secara tidak langsung. Sebarang isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dikaitkan dengan bahan kimia boleh dikurangkan secara menyeluruh melalui pengurusan dan pengendalian bahan kimia yang terancang. Tambahan itu, Bahagian Pengurusan Kimia yang bertindak sebagai kumpulan pemikir kepada Jabatan untuk melihat isu kimia terkini dan merangkumkan idea inovatif terkini ke dalam instrumen perundangan sedia ada untuk memastikan pendekatan holistik dan pengurusan kimia yang mampan di tempat kerja. Semua peraturan-peraturan dan garis panduan yang berkaitan telah disenaraikan seperti di bawah dan maklumat lanjut berkaitan setiap topik boleh diakses melalui pautan hiper yang berkenaan.

Tags: Chemical Management

Tags Cloud