Breadcumb Caption
  • MENGENAI JKKP
  • Profil JKKP
Breadcumb Caption
  • MENGENAI JKKP
  • Profil JKKP

Profil JKKP

Pengenalan

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) ialah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia. Jabatan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang yang sedang bekerja, dan melindungi orang lain daripada bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan pelbagai sektor iaitu:

  • Pengilangan
  • Perlombongan dan Pengkuarian
  • Pembinaan
  • Hotel dan Restoran
  • Pertanian, Perhutanan dan Perikanan
  • Pengangkutan, Penyimpanan dan Komunikasi
  • Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Berkanun
  • Kemudahan - Gas, Elektrik, Air dan Perkhidmatan Kebersihan
  • Kewangan, Insuran, Hartanah dan Perkhidmatan Perniagaan
  • Perniagaan Borong dan Runcit

Jabatan merupakan agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab untuk mentadbir dan menguatkuasakan perundangan mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di negara ini dengan wawasan menjadi sebuah organisasi yang menerajui negara dalam membentuk budaya kerja selamat dan sihat ke arah mempertingkatkan kualiti hidup semasa bekerja.

Visi dan Misi

Visi

"Menjadi Peneraju Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan"


Misi

"Memastikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Terjamin"

Objektif dan Nilai Korporat

Objektif

Mencegah kemalangan industri dan penyakit pekerjaan menjelang tahun 2025 seperti berikut:

  1. Pengurangan kadar kematian 2.93/100,000 pekerja;
  2. Pengurangan kadar kemalangan 2.13/1000 pekerja; dan
  3. Peningkatan pelaporan penyakit & keracunan pekerjaan 30%.

Nilai Korporat

"Tegas, Adil dan Mesra"

Fungsi

  • Menjalankan kajian, penyelidikan, pembangunan dan analisis teknikal ke atas isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang wujud di tempat-tempat kerja.
  • Menguatkuasakan undang-undang berikut:

a) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya
b) Akta Kilang dan Jentera 1967 dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
c) Sebahagian daripada Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.

  • Menjalankan kajian dan analisis teknikal ke atas isu-isu keselamatan pekerjaan yang wujud di tempat-tempat kerja.
  • Menjalankan program-program galakan dan publisiti kepada majikan, pekerja dan orang awam untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  • Memberi khidmat nasihat dan maklumat kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta berkaitan aspek-aspek pengurusan dan teknikal yang ada hubungkait dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  • Menjadi urusetia untuk Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Peranan dan Perkembangan

Peranan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia telah bermula sejak 120 tahun yang lalu, iaitu pada akhir abad ke-19. Bermula dengan keselamatan dandang dan kemudiannya ke atas keselamatan jentera ini diikuti dengan keselamatan industri, keselamatan dan kesihatan industri dan akhir sekali meliputi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang meliputi semua bidang pekerjaan. Sejarah, peranan dan perkembangan Jabatan ini boleh dijejaskan dalam enam era.

1. Era Keselamatan Dandang - sebelum 1914

Tugas keselamatan pekerjaan yang mula-mula dilaksanakan di Malaysia ialah pada tahun 1878, di mana En. William Givan telah dilantik sebagai Pemeriksa Jentera. Beliau ditugaskan untuk memeriksa keselamatan dandang stim yang ketika itu kebanyakannya digunakan di lombong-lombong bijih timah. Pada sekitar tahun 1890an, kerajaan Negeri Perak telah melaksanakan sistem pemeriksaan oleh orang perseorangan, di mana orang perseorangan yang mempunyai kelayakan dalam bidang dandang stim diberi lesen perlantikan sebagai boiler surveyor Pada tahun 1892 terdapat 83 dandang stim di Negeri Perak. Kesemua dandang digunakan di lombong bijih timah melainkan 6 unit yang digunakan di kilang gula. Sistem boiler surveyor telah ditamatkan pada tahun 1900 dengan terlantiknya En. C. Finchman sebagai Inspector of Boiler.

Enakmen-enakmen dandang stim pada ketika ini bersifat kenegerian yang mana keempat-empat negeri di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) mempunyai perundangan dandangnya yang tersendiri. Perundangan dandang yang pertama adalah dipercayai di Negeri Selangor, iaitu Selangor Boiler Enactment 1892 . Manakala di Perak pula perundangan dandang stim yang pertama dikuatkuasakan ialah pada tahun 1903. Pada tahun 1908 barulah kesemua Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai perundangan dandang mereka masing-masing, dan kesemua pemeriksa pada ketika itu dikenali sebagai 'Inspector of Boiler'.

2. Era Keselamatan Jentera - 1914 hingga 1952

Pada 1hb. Januari 1914 enakmen-enakmen dandang stim di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dimansuhkan dan digantikan dengan Machinery Enactment of 1913. Dengan berkuatkuasanya enakmen 1913 pemeriksa tidak hanya membuat pemeriksaan dandang stim sahaja tetapi juga ke atas jentera-jentera lain, termasuklah enjin pembakaran dalam, turbin air dan pemasangan jentera auxiliary yang bersangkutan. Pada masa yang sama jawatan Inspector of Boiler juga dimansuhkan dan diganti dengan Inspectors of Machinery and Assistant Inspector of Machinery.

Pada tahun 1932, Machinery Enactment of 1913 telah dimansuhkan dan digantikan dengan Machinery Enactment of 1932. Pemeriksaan dan pendaftaran serta pemeriksaan pemasangan telah dikuatkuasakan. Ketika itu Pemeriksa-pemeriksa Jentera adalah di bawah pentadbiran Jabatan Galian, iaitu di bawah cawangan Machinery. Ini adalah kerana pada ketika itu jentera-jentera kebanyakannya tertumpu di sektor perlombongan yang mana merupakan perusahaan utama pada waktu itu.

3. Era Keselamatan Industri - 1953 hingga1967

Cawangan Machinery berada di bawah Jabatan Galian sehingga 1952. Cawangan Kejenteraan (Machinery) telah dipisahkan daripada Jabatan Galian dan ditukarkan nama kepada Jabatan Kejenteraan. Pemisahan ini adalah perlu kerana kebanyakan pemeriksaan telah berkembang luar daripada industri perlombongan.

Pada tahun 1953, kesemua enakmen kejenteraan yang dipakai di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu serta Negeri-negeri Selat telah dimansuhkan dan digantikan dengan Machinery Ordinace 1953. Dengan penguatkuasaan Ordinan 1953 ini, peranan Pemeriksa tidak lagi tertumpu kepada dandang atau keselamatan jentera tetapi juga meliputi keselamatan pekerja di kilang-kilang di mana jentera-jentera tersebut digunakan. Ordinan 1953 masih mempunyai kekurangan dalam aspek-aspek kesihatan pekerja walaupun terdapat peraturan-peraturan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di bawah ordinan tersebut, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya. Peruntukan-peruntukan utama ordinan-ordinan tersebut adalah seperti berikut:
  • maka hendaklah ditubuhkan suatu Lembaga Pemeriksa dengan kuasa-kuasa mengendalikan pemeriksaan dan kelulusan sijil-sijil perakuan kebolehan;
  • maka peraturan-peraturan boleh dibuat;
  • maka jentera-jentera tidak boleh dijalankan tanpa sijil perakuan kelayakan;
  • maka orang yang disahkan sahaja boleh mengendalikan jentera;
  • maka jentera-jentera hendaklah diperiksa dari semasa ke semasa;
  • maka kebenaran dari Pemeriksa hendaklah diberi sebelum jentera diperlesenkan atau diubah;
  • maka semua kemalangan kepada orang atau harta benda bersangkut paut dengan jentera hendaklah dilaporkan dan disiasat;
  • maka tiada sesiapapun boleh membuat kelakuan yang boleh mengakibatkan kecederaan kepada yang lain atau menggunakan alat keselamatan;
  • maka jentera-jentera yang tidak mematuhi peraturan tidak dibenarkan dijual atau dipinjamkan atau disewakan; dan
  • maka Pemeriksa diberi kuasa-kuasa untuk memasuki tempat-tempat dan memberhentikan jentera-jentera yang tidak selamat.
Sehingga 1964 terdapat 786 dandang stim, 4537 pengandung tekanan tak berapi, 981 mesin angkat dan 11,366 pepasangan lain. Kakitangan Jabatan Kejenteraan ketika itu terdiri dari 10 Pemeriksa, iaitu Jurutera Mekanikal, 5 Penolong Pemeriksa terdiri daripada pemegang Diploma Kejuruteraan dan 9 Pemeriksa kilang (Juruteknik).

4. Era Keselamatan dan Kesihatan Industri - 1970 hingga 1994

Pada tahun 1967, Akta Kilang dan Jentera telah diluluskan oleh Parlimen. Selain daripada itu penyusunan semula Jabatan telah dijalankan pada penghujung tahun 1960an di mana tanggungjawab dan fungsi pemeriksa, kaedah pentadbiran dan sistem fail telah disusun semula disamping penutupan pejabat-pejabat cawangan kecil di Rawang, Taiping, Tapah, dan Muar. Pada tahun 1970 Akta Kilang dan Jentera serta lapan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya dikuatkuasakan. Dengan berkuatkuasanya Akta ini, Ordinan Kejenteraan 1953 telah dimansuhkan dan nama Jabatan pula ditukar kepada Jabatan Kilang dan Jentera. Pemeriksa-pemeriksa yang menguatkuasakan Akta tersebut bergelar Pemeriksa Kilang dan Jentera. Akta ini digubal untuk mengatasi kekurangan-kekurangan yang terdapat pada Ordinan Kejenteraan 1953, iaitu dari segi skop liputan ke atas pekerja, di mana para pekerja di tempat kerja yang tiada penggunaan jentera telah juga dilindungi. Peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan kesihatan industri telah diperlengkapkan.Secara umumnya, Akta ini telah digubal untuk memperuntukkan piawaian minimum bagi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja yang mempunyai 5 orang pekerja atau lebih dan di semua premis di mana jentera digunakan, termasuklah di kilang-kilang, tapak-tapak kerja binaan bangunan dan kerja binaan kejuruteraan. Akta ini cuma berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia sehinggalah pada tahun 1980 apabila pemakaiannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. Sehingga tahun 1968, Ketua-ketua Pemeriksa adalah terdiri daripada rakyat British berbangsa lnggeris. Pada tahun 1968 jawatan Pemeriksa di Jabatan Kejenteraan telah sepenuhnya diisi oleh anak tempatan. Tahun 1968 juga menyaksikan penubuhan seorang Pegawai Perubatan dan Pengawasan unit ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kejenteraan. Unit tersebut tidak kekal lama di bawah Kementerian Buruh dan telah diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Kesihatan pada tahun 1971.

Era ini juga menyaksikan pewujudan beberapa aktiviti serta bahagian yang penting seperti tertubuhnya Bahagian Mencegah Pencemaran pada tahun 1971; penubuhan Unit Industri Hygiene pada tahun 1975 dan penaikan tarafnya kepada Bahagian Industri Hygiene pada tahun 1980; permulaan aktiviti Keselamatan Petroleum dengan tertubuhnya Bahagian Keselamatan Petroleum pada tahun 1985; bermulanya aktiviti pemeriksaan khas bagi mencegah kemalangan besar industri; aktiviti latihan keselamatan dan kesihatan industri pada tahun 1987 dengan bantuan kepakaran daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO); penubuhan Pusat Kebangsaan bagi Maklumat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (C.l.S) pada tahun 1988; dan penubuhan Bahagian Major Hazards pada tahun 1991. Akta (Langkah-langkah Keselamatan) Petroleum telah dikuatkuasa pada tahun 1984 dan penguatkuasaannya dibuat oleh beberapa agensi kerajaan. Jabatan Kilang dan Jentera menguatkuasakan peruntukan-peruntukan akta yang bersangkutan dengan penghantaran petroluem melalui talian paip, pangagihan dan penyimpanan petroleum serta peralatan perkakasan yang berkaitan. Peraturan-peraturan (Langkah-langkah Keselamatan) (Pengangkutan Petroleum Melalui Talian Paip) 1985 telah dikuatkuaskan sepenuhnya oleh Jabatan ini. Dengan tanggungjawab baru ini pemeriksa-pemeriksa kilang dan jentera telah juga diwartakan sebagai Pemeriksa Petroleum.

Cadangan untuk mengadakan sebuah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara telah dikemukakan oleh Jabatan Kilang dan Jentera kepada Majlis Penasihat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan pada tahun 1985. Kabinet telah meluluskan penubuhan institut ini pada tahun 1991 dan pelancaran rasminya telah dibuat oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia pada bulan Disember 1992. Institut ini adalah sebuah syarikat di bawah tanggungan kerajaan dan penubuhannya bermatlamat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti latihan; pengumpulan dan penyebaran maklumat, kajian dan pembangunan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Satu bengkel kebangsaan mengenai pembangunan strategi maklumat keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah diadakan pada 26 - 28hb April 1993 anjuran bersama Jabatan Kilang dan Jentera, Asia-OSH dan Petubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Matlamat mengadakan bengkel ini adalah untuk mewujudkan satu rangkaian maklumat berkaitan dengan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan supaya pertukaran dan penyebaran maklumat akan dapat dibuat dengan lebih berkesan. Sejak penyusunan semula Jabatan pada tahun 1969, banyak perubahan telah berlaku disebabkan oleh pertumbuahn pesat ekonomi negara dan juga ia disebabkan oleh penguatkuasaan beberapa peraturan yang dibuat dibawahnya.

Penyusunan semula Jabatan juga adalah perlu memandangkan kepada perubahan dasar Jabatan dari segi penguatkuasaan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, iaitu peluasan skop perlindungan para pekerja dan penggalakkan falsafah pengaturan kendiri di mana matlamat, fungsi, tanggungjawab dan pendekatan Jabatan adalah berubah. Penggubalan Akta yang baru juga memerlukan penyusunan semula organisasi Jabatan setelah 20 tahun berfungsi menurut organisasi yang lama yang tidak lagi sesuai untuk menangani isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa. Jawatankuasa petugas penyusunan semula yang telah ditubuhkan pada 1991 telah mengemukakan dua kertas kerja kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pertimbangan iaitu kertas kerja menaikkan taraf jawatan Ketua Pemeriksa Kilang dan Jentera dan timbalannya dan kertas kerja cadangan penyusunan semula struktur organisasi Jabatan Kilang dan Jentera Malaysia. Bermula daripada tahun 1992 gred jawatan Ketua Pemeriksa ialah Jawatan Tertinggi C dan Timbalan Ketua Pemeriksa pula menjawat gred Jawatan Tertinggi D. Penyusunan semula Jabatan telah dipersetujui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan 108 jawatan baru telah diwujudkan. Struktur baru Jabatan telah mula berkuatkuasa pada 1hb Januari 1993.

5. Era Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan - selepas 1994

Perundangan baru Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan diperbuat pada tahun 1994. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) telah mendapat kelulusan Parlimen pada 1993 dan telah diwartakan pada Februari 1994. Perundangan ini diperbuat kerana memandangkan Akta Kilang dan Jentera 1967 hanya meliputi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor perkilangan, perlombongan; dan penguarian dan pembinaan, yang mana keselamatan dan kesihatan pekerja di sektor industri-industri lain tidak diliputi. Pekerja-pekerja yang terlibat di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 hanyalah 24% daripada jumlah tenaga kerja, manakala Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 merangkumi sejumlah 90% daripada tenaga kerja dan akta ini hanya mengecualikan pekerjaan atas kapal dan angkatan tentera.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan kesedaran keselamatan dan kesihatan di kalangan pekerja-pekerja dan juga mewujudkan organisasi dan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang berkesan. Ini dilaksanakan melalui skim-skim pengaturan kendiri yang disesuaikan dengan industri atau organisasi yang berkaitan. Akta ini, yang mengandungi 15 bahagian, adalah langkah pembolehan yang bertindih di atas undang-undang keselamatan dan kesihatan sedia ada seperti Akta Kilang dan Jentera 1967. Peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ini melengkapi peruntukan undang-undang sedia ada dan sekiranya terdapat sebarang percanggahan, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan mengatasinya.

Akta ini juga mendefinasikan kewajipan-kewajipan am majikan, pengilang, pekerja, pekerja sendiri, perekabentuk, pengimport dan pembekal. Walaupun kewajipan-kewajipan tersebut adalah berbentuk am, ia memerlukan perhatian yang serius, dan membawa pelbagai tanggungjawab yang luas. Tiga prinsip utama telah diambil untuk dijadikan asas dalam penggubalan Akta ini. Prinsip pertama ialah self- regulation atau pengaturan kendiri. Untuk menangani perkara-perkara berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pihak majikan perlu membangunkan satu sistem pengurusan yang baik dan kemas. Bermula dengan mengadakan satu polisi keselamatan dan kesihatan untuk pekerja-pekerjanya, pihak majikan perlu mengadakan satu perkiraan atau arrangement yang baik untuk dilaksanakan. Prinsip kedua ialah perundingan atau consultation, iaitu pihak majikan, pekerja dan kerajaan perlu berunding untuk menyelesaikan isu-isu dan masalah-masalah berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat-tempat kerja. Prinsip ketiga ialah kerjasama atau co-operation, iaitu pihak majikan dan pihak pekerja perlu bekerjasama untuk menjaga, memelihara dan meningkatkan mutu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja. Tanpa kerjasama di antara majikan dan pekerja tiada satu pun program-program keselamatan dan kesihatan yang dilaksanakan akan berjaya.

Akta ini juga memperuntukkan perlantikan pegawai-pegawai penguatkuasa, penubuhan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, pembentukan polisi dan penyusunan langkah-langkah untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja dan orang-orang lain daripada bahaya yang timbul daripada aktiviti orang-orang yang sedang bekerja. Kuasa untuk penguatkuasaan dan penyiasatan, serta libiliti untuk kesalahan-kesalahan juga dinyatakan dengan jelas.

Dengan kelulusan akta ini mulai April 1994 Jabatan Kilang dan Jentera dikenali sebagai Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pemeriksa dikenali sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Di bawah akta ini sektor-sekotr industri yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Pengilangan
  •  Perlombongan dan penguarian
  •  Pembinaan
  •  Pertanian, perhutanan dan perikanan
  •  Kemudahan - gas, elektrik, air dan perkhidmatan kebersihan
  •  Pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi
  •  Perdagangan borong dan runcit
  •  Hotel dan restoran
  • Kewangan, insuran, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan
  •  Perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun
Manakala misi Jabatan adalah untuk mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat di kalangan semua majikan dan pekerja supaya keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka dan orang lain yang terdedah risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti orang bekerja adalah terpelihara.

6. Era OSHMP15

Sejajar dengan kestabilan dan pengukuhan Malaysia sebagai penyumbang ekonomi serantau dan juga komuniti ekonomi dunia, Malaysia tidak terkecuali dari menghadapi cabaran-cabaran di dalam aspek persekitaran tempat kerja. Sehubungan dengan itu, Malaysia perlu melihat jauh ke hadapan untuk mempelajari pengalaman daripada Negara-negara luar yang lebih maju.

Secara khususnya dalam konteks KKP, Malaysia dapat mempelajari, mengadaptasi dan melaksanakan program KKP dari Negara-negara luar selaras dengan perkembangan industri dan ekonomi negara. Oleh itu, Plan Induk KKP telah diwujudkan dengan mengambil kira segala kemungkinan yang akan berlaku.

Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Occupational Safety and Health – Master Plan) 2015 ini telah dilancarkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 02 Mei 2009 dengan matlamat utama untuk membangunkan modal insan yang selamat, sihat dan produktif dengan menerap, memupuk dan mengekalkan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja. Pelan Induk ini dibangunkan selaras dengan halatuju kerajaan dimana setiap strategi yang dibangunkan adalah menyokong asas-asas ke arah sebuah Negara “High Income, Advance Technology” menjelang 2020 kelak.

7. OSHMP 2020

RMKe-11 dirangka dengan memberikan keutamaan kepada rakyat dalam semua usaha pembangunan. Ekonomi berteraskan rakyat akan diberikan keutamaan. Pendekatan ini mengukuhkan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup, martabat dan potensi rakyat untuk memanfaatkan pembangunan dan kemajuan ekonomi. Selaras dengan matlamat mencapai status negara maju dan inklusif menjelang tahun 2020, semua lapisan masyarakat perlu mendapat faedah daripada kemakmuran ekonomi negara. Sehubungan itu, buat pertama kali sasaran pertumbuhan negara bukan sahaja akan diukur berdasarkan pertumbuhan KDNK dan pendapatan per kapita, tetapi juga mengambil kira pendapatan isi rumah dan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia. Usaha ini bertujuan untuk menilai impak pertumbuhan ekonomi terhadap kesejahteraan rakyat.

Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 (OSH-MP 2020) merupakan strategi dan program yang dirangka bagi melonjakkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) negara ke peringkat yang lebih cemerlang untuk melindungi sumber manusia negara yang merupakan aset penting dalam menjayakan program pembangunan negara bagi merealisasikan matlamat Wawasan 2020. Tahap KKP yang cemerlang akan meningkatkan kualiti hidup pekerjaan para pekerja dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan indeks Komponen Persekitaran Kerja di bawah Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia sejajar dengan dasar dan pelan transformasi negara dalam mencapai Wawasan 2020.

Pelan induk ini adalah kesinambungan daripada dua pelan strategik lima tahun KKP terdahulu yang telah bermula pada tahun 2006 dengan matlamat untuk membentuk Budaya Kerja Selamat dan Sihat di kalangan majikan dan pekerja. Budaya Kerja Selamat dan Sihat merupakan tonggak dalam menjadikan tempat kerja di Malaysia selamat dan sihat melalui program strategik pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Strategi utama OSHMP 2020 adalah untuk menerapkan Budaya Pencegahan di tempat kerja. Pendekatan ini akan meneruskan pelaksanaan dan penerapan prinsip kebertanggungjawaban dan peraturan kendiri yang telah dilaksanakan di bawah dua pelan strategik KKP sebelum ini ke arah memantapkan pembentukan Budaya Kerja Selamat dan Sihat di kalangan majikan dan pekerja.

Budaya Pencegahan menekankan nilai kesedaran, tanggungjawab dan komitmen majikan dan pekerja, menghormati hak pekerja terhadap KKP, menggalakkan penglibatan pekerja dalam aktiviti KKP, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran KKP serta mengamalkan pengurusan KKP yang cekap berteraskan pengurusan risiko yang berkesan. Keberhasilan yang diidamkan adalah untuk mentransformasikan tempat kerja di negara ini menjadi persekitaran yang selamat dan sihat dalam melindungi modal insan negara, iaitu para pekerja.

Pencapaian prestasi KKP negara sejak pelaksanaan dua pelan strategik sebelum ini menunjukkan kesan positif terhadap peningkatan indeks komponen Persekitaran Kerja di bawah Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia melalui penurunan bilangan dan kadar kemalangan di tempat kerja.

Pada tahun 2005, sebanyak 51,829 kemalangan industri telah dilaporkan. Analisis menunjukkan berlaku 6.93 kemalangan maut bagi setiap 100,000 pekerja dan 5.16 kemalangan bagi setiap 1,000 pekerja. Pada tahun 2015, bilangan kemalangan menurun kepada 38,753 kes. Manakala kadar kemalangan maut bagi setiap 100,000 pekerja pula menurun kepada 4.84 dan kadar kemalangan bagi setiap 1,000 pekerja menurun kepada 2.81. Dalam melangkah ke hadapan untuk setanding dengan negara maju, kadar kemalangan dan kadar kematian ini perlu dikurangkan lagi.

Manakala bagi higien industri, sebanyak 1,198 kes penyakit dan keracunan pekerjaan dilaporkan kepada pihak Jabatan pada tahun 2011 berbanding dengan 5,617 kes pada tahun 2015. Jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan bagi tempoh 2011-2015 adalah sebanyak 13,843 kes. Walau bagaimanapun, bilangan pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan masih lagi rendah jika dibandingkan dengan bilangan pelaporan di negara maju. Ini menunjukkan bahawa isu yang sering dihadapi oleh kebanyakan negara, termasuk Malaysia adalah kes penyakit pekerjaan yang tidak dilaporkan.

Dengan keyakinan bahawa Budaya Kerja Selamat dan Sihat akan meningkatkan kesejahteraan majikan, pekerja dan negara, pelan lima tahun OSH-MP 2020 memfokuskan usaha untuk menurunkan kadar kemalangan dan maut sebanyak 10% iaitu kepada 2.53 kemalangan bagi setiap 1,000 pekerja dan 4.36 maut bagi setiap 100,000 pekerja menjelang tahun 2020. Pelan induk KKP ini juga akan memastikan peningkatan pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan sebanyak 30% berbanding pada tahun 2015 menjelang tahun 2020.

Bagi mencapai hasrat ini, OSH-MP 2020 menggunakan lima strategi utama yang berteraskan usaha untuk meningkatkan kesedaran, tanggungjawab dan komitmen pihak berkepentingan terhadap KKP. Semua pihak perlu bergerak seiring dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk menjadikan tempat kerja selamat dan sihat melalui penerapan Budaya Pencegahan. Kelima-lima strategi tersebut adalah Kepemimpinan Kerajaan, Pemerkasaan Pengurusan KKP, Perkongsian dan Jaringan KKP, Pengarusperdanaan Higien Industri dan Kesepakatan KKP di Persada Antarabangsa.

Lima strategi OSHMP 2020 ini seterusnya akan disokong oleh pelbagai program dan aktiviti yang tertumpu pada pembentukan Budaya Pencegahan dalam kalangan majikan dan pekerja. Bagi memastikan kejayaannya, selain komitmen majikan dan pekerja, OSHMP 2020 turut menggariskan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan seperti Kerajaan, persatuan, orang yang kompeten dan pihak lain yang mempunyai hubung kait dan pengaruh dengan majikan dan pekerja.

Penglibatan dan kerjasama semua pihak merupakan tonggak kepada kejayaan pelan induk ini yang akan menghasilkan peningkatan kualiti hidup pekerjaan para pekerja, peningkatan produktiviti serta daya saing organisasi dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia yang menjadi petunjuk kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.

Tags: DOSH, about

Cetak Emel