mobile header ms01

  • Utama
  • Mengenai NCOSH
  • Latarbelakang

Latarbelakang Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

LATARBELAKANG MNKKP

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia adalah sebuah badan tertinggi yang bertanggungjawab menentukan halatuju dan dasar Negara berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. Ianya ditubuhkan pada tahun 1995 mengikut kehendak Seksyen 8, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Objektif utama penubuhan MNKKP merupakan usaha berterusan pihak Kerajaan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja adalah terjamin. Sehubungan itu, MNKKP semakin matang dan sentiasa giat berusaha dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam menjadikan amalan kerja selamat dan sihat sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia. Usaha ini berlandaskan kepada proses tripartisme ke arah membudayakan amalan tersebut.

MNKKP terdiri daripada lima belas ahli dan seorang setiausaha. Timbalan Menteri Sumber Manusia telah dilantik sebagai Pengerusi MNKKP, manakala sekretariatnya terdiri daripada Pegawai Kanan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Ahli MNKKP kini terdiri daripada wakil-wakil pihak kerajaan, majikan dan pekerja, badan profesional dan pemerhati.

VISI

Menjadi sebuah badan penggerak utama menerajui Negara melalui proses tripartisme, membentuk budaya kerja selamat dan sihat dan seterusnya mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.

MISI

Untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan seterusnya mewujudkan Budaya Kerja Selamat dan Sihat di kalangan majikan, pekerja dan semua pihak. Di samping itu juga untuk memastikan wujudnya sistem rangkaian pengurusan keselamatan dan kesihatan yang adil dan pelaksanaan sistem perlindungan keselamatan pekerjaan yang menyeluruh.

FUNGSI

MNKKP menjalankan fungsi-fungsinya dengan membincang, mengkaji, menyiasat dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada Menteri Sumber Manusia berkenaan dengan apa-apa perkara berhubung dengan tujuan-tujuan Akta 514 terutamanya, tetapi tanpa menjejaskan keluasan makna peruntukan Akta tersebut berkenaan dengan:-

  1. Perubahan yang dianggapnya wajar bagi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
  2. Pemajuan pentadbiran dan penguatkuasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
  3. Penggalakan hubungan kerjasama perundingan antara pihak pengurusan dengan buruh tentang keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja;
  4. Masalah-masalah khusus berkenaan dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjaan wanita, orang-orang cacat dan golongan-golongan lain dalam masyarakat;
  5. Penubuhan kaedah-kaedah kawalan yang mencukupi bagi kimia industri di tempat kerja;
  6. Penganalisisan statistik mengenai kematian dan kecederaan yang berhubung dengan pekerjaan;
  7. Pengadaan kemudahan penjagaan kesihatan di tempat kerja;
  8. Penggalakan pembangunan dan penerimapakaian melalui undang-undang tataamalan industri yang berhubungan dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjaan; dan
  9. Pembangunan rancangan dan kemudahan pemulihan untuk membantu orang yang cedera di tempat kerja

KEANGGOTAAN MAJLIS

Penubuhan MNKKP adalah selaras dengan prinsip perundangan yang merupakan salah satu daripada prinsip-prinsip utama yang menjadi asas dalam penggubalan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Bagi memenuhi kehendak Akta tersebut, Menteri Sumber Manusia telah menubuhkan Majlis dengan melantik beberapa anggota dan seorang setiausaha.
 
Anggota-anggota yang dilantik adalah terdiri daripada wakil-wakil dari pihak Kerajaan, majikan, pekerja serta badan profesional dan sukarela dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia dilantik sebagai Pengerusinya. Anggota-anggota MNKKP adalah seperti di bawah:
 
  1. Tiga (3) orang daripada organisasi mewakili Majikan;
  2. Tiga (3) orang daripada organisasi mewakili Pekerja;
  3. Tiga (3) orang atau lebih hendaklah daripada Kementerian atau Jabatan yang tanggungjawabnya adalah berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan; dan
  4. Tiga (3) orang atau lebih, yang daripadanya sekurang-kurangnya seorang hendaklah wanita, hendaklah daripada organisasi atau badan profesional yang aktiviti anggotanya adalah berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan yang pada pendapat Menteri, boleh menyumbang kepada kerja Majlis.
Anggota-anggota Majlis hendaklah memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun atau selama apa-apa tempoh yang lebih singkat yang ditentukan oleh Menteri dan adalah layak untuk dilantik semula untuk tempoh maksimum dua penggal.

Logo

logo ncosh
Identiti korporat untuk Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan digambarkan berdasarkan Tiga (3) figura yang bergandingan tangan melambangkan konsep Tripartite antara majikan dan pekerja bersama-sama Kerajaan yang saling bekerjasama serta bersikap terbuka dalam sebarang rundingan berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.   logo ncoshnew
Perkataan di dalam bentuk bulatan mewakili objektif Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sebagai badan tertinggi yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan dasar negara berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.   logo ncosh02
Singkatan NCOSH digunakan bagi mewakili nama korporat Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Selain itu, tulisan NCOSH yang digelapkan (bold) menggambarkan kekuatan yang wujud selain keyakinan dan kredibiliti pada NCOSH dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.   logo ncosh03
Warna biru ,merah dan kuning adalah kod warna yang kebiasaanya mewakili warna keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Selain itu, 3 warna ini juga menyatakan usaha berterusan dalam mempromosikan kesedaran mengenai budaya kerja yang sihat dan selamat di kalangan majikan, pekerja dan semua pihak.   logo ncosh04

Tags Cloud