Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Cegah nahas ulang-alik kerja
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Cegah nahas ulang-alik kerja

Cegah nahas ulang-alik kerja

Metro Online, 30 Oktober 2012

KUALA LUMPUR: Pekerja industri dalam kumpulan umur 20 hingga 30 tahun di negara ini dikenal pasti paling ramai terbabit dalam kemalangan ketika perjalanan ulang-alik ke tempat kerja dan kemalangan perusahaan dari Januari hingga September tahun ini iaitu sebanyak 12,834 kes.

Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Datuk Maznah Mazlan berkata, jumlah itu amat membimbangkan kerana kumpulan usia berkenaan adalah yang paling produktif dan memberi implikasi besar dari segi guna tenaga.

“Jika kemalangan hingga menyebabkan pekerja terbabit hilang upaya kekal, sementara dan maut, ia adalah satu kerugian kepada pekerja dan majikan malah turut memberi implikasi kepada keluarga dan masyarakat.

“Justeru, satu jawatankuasa khas membabitkan kerjasama antara Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan ditubuhkan bagi melaksanakan pelbagai program pencegahan secara serius selewat-lewatnya Januari depan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Negara di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah DOSH, Datuk Dr Johari Basri dan Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh.

Maznah berkata, melalui kerjasama itu profil, maklumat dan semua aspek kemalangan akan dikenal pasti selain merujuk kepada JKJR dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk mengadakan program yang bersesuaian untuk kumpulan sasar dan turut membabitkan majikan.

“Satu mesyuarat akan diadakan dua minggu lagi manakala maklumat sedia ada akan diperincikan sebelum pelaksanaan program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pembabitan majikan juga amat penting dalam program yang akan dilaksanakan khusus bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja dan perjalanan ke tempat kerja.

Dalam perkembangan lain, Maznah berkata kemalangan membabitkan perjalanan ulang-alik ke tempat kerja meningkat sebanyak 9.3 peratus, dengan jumlah keseluruhan kes bagi tempoh Januari hingga September tahun ini ialah 15,116.

Beliau berkata, sektor yang mencatat jumlah kes tertinggi bagi tempoh sama iaitu sektor perkilangan dengan 4,503 kes, diikuti sektor perkhidmatan awam sebanyak 3,393 kes.

“Sektor perdagangan pula mencatat sejumlah 2,213 kes, pembinaan (1,166), hartanah (1,410) sementara aktiviti perlombongan dan kuari mencatat jumlah kes terendah iaitu 91,” katanya.

Cetak Emel