Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2011
  • Maut dalam mesin sawit: Mangsa dipercayai terlupa tutup suis
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2011
  • Maut dalam mesin sawit: Mangsa dipercayai terlupa tutup suis

Maut dalam mesin sawit: Mangsa dipercayai terlupa tutup suis

Berita Harian, 29 Disember 2011

Oleh: Shamsul Kamal Amarudin

TAIPING: Malang tidak berbau bagi seorang lelaki apabila maut selepas terjatuh ke dalam mesin memproses buah kelapa sawit ketika mencuci mesin berkenaan di sebuah kilang di Kampung Padang Gajah, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, Suhaimi Mohamad Ariffin, 36, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan kecederaan pada seluruh tubuhnya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan berseorangan dalam kilang berkenaan.

“Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam mesin yang masih bergerak ketika mencuci mesin terbabit,” katanya kepada pemberita, semalam.

Yusof berkata, kejadian itu hanya disedari oleh rakan sekerja selepas mendengar jeritan mangsa dan terus menutup suis mesin berkenaan sebaik mengetahui mangsa terjatuh ke dalamnya.

Katanya, keadaan di sekitar mesin itu agak mengerikan dengan kesan percikan darah kelihatan di sekeliling kawasan mesin terbabit.

Beliau berkata, anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian kemudian meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di celah mesin terbabit.

Yusof berkata, siasatan awal polis tidak mendapati sebarang unsur khianat dalam kejadian itu sebaliknya mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Cetak Emel