Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2011
  • Kerja alih menara kren selesai
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2011
  • Kerja alih menara kren selesai

Kerja alih menara kren selesai

Berita Harian, 6 Oktober 2011

GEORGETOWN: Kerja mengalihkan menara kren yang menghempap rumah kedai dan bangunan menempatkan pejabat Agensi Penguatkuaasan Maritim Malaysia (APMM) di Jalan Bahari, di sini, kelmarin, selesai awal pagi semalam.

Meskipun kerja itu selesai jam 2.30 pagi, iaitu kira-kira 26 jam selepas kejadian, kawasan lokasi iaitu sebahagian Jalan Bahari dan Jalan Transfer, masih ditutup kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan dengan anggota polis turut ditempatkan di situ.

Bagaimanapun, struktur bilik pengawal kren dan batu yang dijadikan pemberat masih berada di dalam rumah kedai berkenaan.

Kerja mengalihkan kren dipantau pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang. Kren kini ditempatkan di tapak pembinaan hotel bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Berikutan kejadian itu, kira-kira 40 pegawai dan anggota APMM yang terpaksa mengosongkan pejabat dan mereka dijangka berpindah ke bangunan sementara.

Pengguna jalan raya dari Jalan Penang dan Jalan Transfer yang ingin ke Jalan Sultan Ahmad Shah atau Jalan Sri Bahari dilencongkan ke Jalan Argyll/Jalan Larut.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam kelmarin, seorang pekerja kontrak maut, manakala tiga orang cedera selepas menara kren menghempap rumah kedai itu ketika mereka sedang tidur.

Mangsa yang maut ialah Liang Yit Kwang, 65, manakala mangsa yang cedera ialah Luar Chooi Guan, 78 dan isterinya, Chew Chong Choo, 76, dan anaknya, Luar Seong Ean, 54. Mereka masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sementara itu, Pengarah JKKP negeri, Mohd Anuar Embi, berkata pihaknya sedang melakukan pemeriksaan teknikal ke atas menara kren berkenaan selepas memindahkannya ke tapak pembinaan hotel.

Siasatan ditumpukan ke atas pelbagai faktor seperti cara pemasangan, bahan yang digunakan, pihak memasang dan cara pelaksanaan kerja serta bekerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetahui faktor cuaca seperti angin dan hujan ketika kejadian.

“Saya tidak pasti tempoh yang diambil dan siasatan mungkin mengambil masa beberapa bulan sebelum sebarang rumusan dapat dilakukan,” katanya.

Mengenai arahan larangan meneruskan projek pembinaan hotel itu, Mohd Anuar berkata, pihaknya hanya mengeluarkan arahan ke atas kerja mengangkat atau mengalih yang membabitkan kren.

“Kerja selain penggunaan kren, dibenarkan, malah jika pemaju mahu meneruskan projek dengan menggunakan kren, mereka perlu memperbaiki tahap keselamatan berpandukan undang-undang sedia ada.

“Pemaju juga perlu menyediakan cadangan pelaksanaan kerja yang selamat serta jaminan dan jika menepati garis panduan, penggunaan kren akan dibenarkan,” katanya.

Ketua Penguat Kuasa APMM Daerah Maritim 2, Komander Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, pihaknya dinasihatkan berpindah ke bangunan lain sementara siasatan dilakukan bagi memastikan bangunan pejabat agensi itu selamat diduduki.

“Bangunan ini sudah dikosongkan sejak semalam (kelmarin) dan dijangka akan mendapat pejabat sementara selewat-lewatnya hari ini (semalam),” katanya.

Cetak Emel