• Arkib Info KKP
  • 2014
  • Hazad Bahan Mudah Terbakar di Kilang Pulpa/Kertas
Slider

Hazad Bahan Mudah Terbakar di Kilang Pulpa/Kertas

bkf 042014 1Rajah 1 : Produk metabolik bacteria bagi tangki simpanan/lagun. (Rowbottom, 1993).

Kejadian letupan di kilang pulpa dan kertas baru-baru ini telah menyebabkan seorang mangsa mengalami kecederaan di mata dan hilang kaki kiri. Analisa kimia mengesahkan kehadiran gas mudah terbakar disebabkan oleh aktiviti bakteria di dalam tangki pulpa kertas.

Menurut beberapa pengkaji (Rowbottom, 1993; Kapdan dan Kargi, 2006; dan Salgar dan Constantacos, 1999) aktiviti bakteria di dalam sistem air putih (white water system) dikilang pulpa boleh menghasilkan gas mudah terbakar. Aktiviti biologi bacteria ini boleh dibahagikan kepada 3 peringkat, bergantung kepada kedudukannya di dalam strata tangki berkenaan. Rajah 1 merumuskan pengeluaran gas mudah terbakar hasil daripada aktiviti bacteria tersebut. Sekiranya bacteria metanogenik wujud, maka hydrogen akan ditukarkan kepada gas metana. Dengan itu, bergantung kepada jenis dan keaktifan bakteria, darjah pengeluaran gas mudah terbakar juga akan meningkat. Faktor-faktor lain yang mempengaruhi pengeluaran ini adalah masa dan keasidan pulpa seperti yang ditunjukkan di Rajah 2.

bkf 042014 2Rajah 2 : Dua faktor yang dikaji oleh Rowbottom (1993) yang mempengaruhi aktiviti bacteria dalam penghasilan gas hidrogen.

Gas hidrogen, metana dan hydrogen sulfida adalah gas-gas mudah terbakar. Oleh itu, adalah penting bahawa semua pihak yang terlibat dalam industry pulpa dan kertas dapat mengambil iktibar dan kesedaran tentang risiko yang terhasil daripada aktiviti bakteria ini. Perhatian yang khusus perlu diberi terhadap perkara-perkara berikut :

  1. Aktiviti kerja panas (hot work) terutamanya berdekatan dengan bukaan atau pengudaraan tangki pulpa haruslah dipantau dan dibenarkan oleh orang yang berkenaan.
  2. Kumpulan kerja proses dan penyelenggaraan hendaklah sedar tentang potensi hazad gas mudah terbakar, terutamanya jika loji tersebut tidak berjalan bagi tempoh beberapa jam.
  3. Promosi terhadap kesedaran tentang hazad gas mudah terbakar perlulah secara menyeluruh, termasuklah tanda-tanda amaran dan arahan kerja yang jelas kepada para pekerja dan juga kontraktor.
  4. Taksiran HIRARC keatas aktiviti loji semasa operasi normal dan tempoh penyelenggaraan mungkin boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko letupan dan mengambil langkah-langkah penambah baikan (sekiranya perlu). Antara contoh penambah baikan yang boleh di buat ialah :
    1. Kajian semula keatas prosedur pemulaan (startup procedure) bagi mengambil kira langkah pengurangan/pembuangan gas mudah terbakar daripada sistem, contohnya verfikasi operasi penggodak (agitator) di dalam tangki pulpa, dan memastikan system pengudaraan tangki berfungsi
    2. Meneliti keperluan peralatan, motor elektrik dan pepasangan berdekatan dengan bukaan/pengudaraan tangki mempunyai keupayaan kalis percikan api (spark proof)
    3. Sistem pengkategorian/pengezonan kawasan hazard
    4. Mengurus dan menggunakan kaedah sistem permit kerja panas (hot work permit) bagi kerja kimpalan berdekatan dengan tangki pulpa
    5. Latihan, arahan dan pengawasan khusus bagi hazard gas mudah terbakar bagi memastikan semua pekerja bebas dari risiko berpunca dari aktiviti kerja.
  5. Saranan-saranan di atas menjadi keutamaan yang penting sekiranya kilang pulpa/kertas terbabit menggunakan teknologi pembuatan tak-berasid (non-acid-based technology).

Rujukan dan Bacaan Tambahan.

  1. Rowbottom, R.S. (1993). Risk of Bacterial Hydrogen Generation in White Water Systems. Vol. 76. No. 1. Technical Assoc. of the Pulp and Paper Industry (TAPPI).
  2. Kapdan, I.K. and Kargi, F. (2006). Bio-Hydrogen Production From Waste Materials. Enzyme and Microbial Technology 38 (2006). pp. 569-582. Elsevier
  3. Salgar, S. and Constantacos, J. (1999). Non-BiocidalVFA and H2S Control Technology for Pulp/Paper and Recycling Mills, EfluentWastewater, Industrial Sludge and Storage Lagoons.1999 International Environmental Conference. pp. 103 – 109. Technical Assoc. of the Pulp and Paper Industry (TAPPI) Proceedings.
  4. Lower and Upper Explosive Limits for Flammable Gases and Vapors (LEL/UEL). Reference information. Matheson Tri-Gas. www.mathesongas.com

Cetak Emel