• Arkib Berita
  • 2019
  • JKKP Pahang sita 16 tapak pembinaan - Sinar Harian Online
Slider

JKKP Pahang sita 16 tapak pembinaan - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 22 Mac 2019

 

news sho2 220319

Mohamad Jais menunjukkan kesalahan yang telah dilakukan kontraktor. 

 

KUANTAN - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang menyita 16 lokasi tempat kerja di tapak pembinaan di sekitar negeri ini atas pelbagai kesalahan, sejak Febuari lalu.

Pengarahnya, Mohamad Jais Suratman berkata, tindakan berkenaan dilakukan menerusi Operasi Cegah Runtuh Cegah Jatuh dijalankan sejak 25 Februari lalu yang melibatkan 20 tapak bina di tiga daerah dalam negeri Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan itu, sebanyak 36 notis penambahbaikan dan 80 notis larangan serta-merta sudah dikeluarkan kepada kontraktor terbabit yang melakukan pelbagai kesalahan.

"Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 12 daripada 16 lokasi yang telah kita sita. Sebanyak empat kertas siasatan telah disiapkan manakala 11 lagi kertas siasatan sedang dilengkapkan.

"Ini menunjukan bahawa jabatan memandang serius atas kegagalan pihak kontraktor untuk patuh kepada peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Cegah Jatuh dan Runtuh di pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Jais berkata, statistik jabatan itu menunjukkan berlaku penurunan bagi kes kemalangan maut bagi sektor pembinaan di negeri Pahang pada tahun lalu dengan merekodkan hanya dua kes berbanding lima kes pada tahun 2017.

Menurutnya, seramai lima kontraktor telah didakwa dengan nilai saman RM53,000 pada 2017 manakala 16 kontraktor telah didakwa pada 2018 dengan jumlah kompaun RM36,000.

"Bagi tempoh Januari sehingga hari ini, satu kes kemalangan maut telah dicatatkan pada 31 Januari lalu melibatkan pekerja projek pembinaan jalan dan kertas siasatan telah pun dibuka.

"Jika sabit kesalahan, majikan terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM50,000.

"Kami ingin mengingatkan dan menggesa semua pihak di industri pembinaan agar menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tapak pembinaan dan kawasan berhampirannya selamat," katanya.

Cetak Emel