• Arkib Berita
  • 2019
  • 20 surat arahan dikeluar kepada kontraktor gagal patuhi akta - Utusan Online
Slider

20 surat arahan dikeluar kepada kontraktor gagal patuhi akta - Utusan Online

Utusan Online, 20 Mac 2019

 

news uo 200319 

HAIOZIE ARIS (kiri) bersama kakitangannya membuat tinjauan semasa menyertai Operasi Cegah Jatuh dan Runtuh di Projek Perumahan Bukit Banyan, Sungai Petani di Kedah, hari ini. - UTUSAN ONLINE/ABD. RAZAK OSMAN

 

SUNGAI PETANI 20 Mac - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri telah mengeluarkan sebanyak 20 surat arahan, 11 notis penambahbaikan dan 95 notis larangan serta-merta kepada kontraktor pembinaan yang gagal mematuhi peraturan dan akta ditetapkan jabatan itu, dalam operasi bermula 4 Mac lalu.

Pengarahnya, Haiozie Asri berkata, operasi itu bagi memastikan tahap pematuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Akta Keselamatan dan Keselamatan Pekerjaan 1974 dilaksanakan.

Beliau berkata, sebanyak 24 tapak pembinaan diperiksa membabitkan seramai lima orang pegawai JKKP.

“Sehubungan itu, kita menasihatkan semua kontraktor yang terpilih bagi menyiapkan projek pembinaan termasuk rumah dan bangunan di negeri ini, agar mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Ini bagi mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini. Kita akan melakukan operasi mengejut di tapak-tapak projek pembinaan daripada semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita semasa menyertai Operasi Cegah Jatuh dan Runtuh di Tapak Pembinaan Pejabat Operasi Paramount Property Bukit Banyan, Sungai Petani di sini, hari ini.

Menurut Hairozie, pada tahun lepas, terdapat satu kes kemalangan maut di tapak pembinaan manakala yang mengakibatkan hilang upaya kekal sebanyak dua kes.

Katanya, pihaknya juga mengesan sebanyak 10 kes kecuaian atau tidak mengikut peraturan ditetapkan di tapak pembinaan dan telah didakwa di mahkamah dengan membabitkan jumlah denda sebanyak RM35,400.

“Sebanyak 66 kes dikenakan kompaun berjumlah RM159,000 terhadap pelbagai kesalahan kerana melakukan pelanggaran undang-undang di tapak pembinaan,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE

 

Cetak Emel