Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Kontraktor pembaikan jalan tidak prihatin keselamatan awam

Utusan Online, 11 September 2014

SAYA memerhatikan kebanyakan rakyat Malaysia sering diberi jaminan berkenaan dengan keselamatan dan keselesaan kemudahan awam serta kerja-kerja pembaikan jalan raya yang dijalankan di beberapa tempat di Lembah Klang.

Mereka yang sepatutnya bertanggungjawab ialah kontraktor yang bertugas dengan kerja-kerja pembaikan jalan.

Jika kita melihat di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya hari ini dan bahagian lain di sekitar Lembah Klang, kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan raya ini tidak menunjukkan keprihatinan mereka terhadap keselamatan orang awam dan pengguna jalan raya.

Penghadang telah pun diletakkan tetapi kawasan di luar penghadang berada dalam keadaan sangat buruk antaranya jalan berlubang tanpa pengawasan.

Kontraktor harus memikul tanggungjawab dengan menampal jalan yang berlubang tersebut demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Selain itu, lampu penghadang-penghadang yang tidak dinyalakan pada waktu malam dan semasa hujan lebat akan membawa risiko tinggi kepada pemandu lebih-lebih lagi dalam musim hujan ini.

Tambahan pula, tanda-tanda isyarat tidak mencukupi untuk memberi amaran kepada pemandu akan bahaya yang mungkin mereka alami apabila memandu di sekitar tapak pembinaan.

Terdapat juga kontraktor yang menjalankan kerja-kerja menggali jalan untuk syarikat-syarikat utiliti tidak menampal balik jalan yang digali tersebut dengan sempurna.

Apabila kerja-kerja membaiki jalan raya dijalankan, pekerja kontraktor sering kali akan menggunakan ruang jalan raya yang banyak.

Tapak kerja selalunya tidak teratur dan lampu amaran seringkali tidak dipasang pada waktu malam.

Pada musim hujan, tapak-tapak kerja amat membahayakan orang ramai dan ini menyebabkan kemalangan sering berlaku ekoran kekurangan langkah-langkah keselamatan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya semasa kerja pembaikan sedang dijalankan.

Apa yang paling dikesali adalah setiap kali selepas kerja pemasangan kabel, penampalan semula jalan tidak dilakukan dan ini menyebabkan jalan berlubang.

Walaupun saya menghargai akan hakikat bahawa kerja-kerja pemasangan kabel dan paip yang dilakukan oleh syarikat-syarikat adalah untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan orang ramai namun mereka tidak boleh mengetepikan tanggungjawab kontraktor untuk mengikut amalan keselamatan yang baik dan berpiawaian tinggi di tapak kerja demi kepentingan dan kesihatan awam.

Inilah masanya untuk semua pihak berkuasa tempatan memperketatkan prosedur bagi memastikan semua kerja-kerja pembaikan jalan oleh kontraktor dipantau dengan teliti dan tapak kerja mereka sentiasa bersih, teratur dan tidak mengakibatkan bahaya kepada orang ramai agar keselamatan awam tidak terjejas.

Oleh yang demikian kerajaan tempatan mempunyai tanggungjawab yang berat dan perlu mempunyai kemampuan untuk menangani pelbagai isu dan mencari penyelesaian berkesan terhadap keperluan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh penduduk bandar.

Justeru itu penguasa tempatan perlu menjadi 'pihak berkuasa tertinggi' dan 'bukan yang terendah' dalam soal penyediaan perkhidmatan kepada masyarakat.

Ketika Malaysia melalui proses pembangunan perbandaran yang pesat, penyediaan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat bandar perlu diletakkan di dalam agenda nasional.

Kerajaan tempatan perlu peka kepada rungutan atau pandangan orang ramai untuk berfungsi secara berkesan. Dalam hal ini pandangan umum perlu digalakkan dengan penyertaan orang ramai melalui penubuhan jawatankuasa perundingan di mana mereka dapat mengemukakan pandangan dan cadangan mereka untuk perhatian pihak berkuasa tempatan.

Pertumbuhan pesat bandar juga akan menghasilkan pembangunan semangat bekerjasama penghuni. Di mana bangunan dan kawasan perumahan baru dibangunkan, usaha proaktif perlu dilakukan untuk membangunkan semangat kekitaan dan hubungan erat di kalangan penghuni berbilang kaum bagi memupuk persefahaman dan keharmonian.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH)

 

Print Email