• Archive News
  • 2018
  • Kes kematian di tapak pembinaan membimbangkan - Berita Harian
Slider

Kes kematian di tapak pembinaan membimbangkan - Berita Harian

SEREMBAN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan 711 kematian di tempat kerja dengan 187 daripadanya berlaku di tapak pembinaan sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarahnya, Ir Omar Mat Piah, berkata kadar kematian di tapak pembinaan sangat membimbangkan dan ia tiga kali ganda berbanding kematian di lokasi lain.

Katanya, secara terperinci sejumlah 6,125 kemalangan berlaku di tapak pembinaan tahun lalu yang memerlukan perhatian, kawalan peraturan, akta dan tata amalan perindustrian."Setakat Jun tahun ini, JKKP sudah menjalankan 4,838 pemeriksaan di tapak pembinaan seluruh negara dan sejumlah 4,132 notis dikeluarkan. JKKP turut mengenal pasti sebanyak 253 kesalahan dan kompaun sudah dikeluarkan," katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Cegah Jatuh JKKP Bilangan 2/2018 di Projek Cadangan Pembangunan Pangsapuri Prima, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar. Dalam pada itu, Omar berkata, sebanyak 31 kes sudah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran perundangan. "JKKP menyarankan semua pihak industri mengamalkan keselamatan yang baik di tempat kerja. Dua punca yang menyebabkan kematian adalah objek jatuh dan pekerja jatuh ketika mengendalikan jentera," katanya.

Berkaitan operasi terbabit, Omar berkata, sebanyak 70 tapak pembinaan diperiksa bermula 1 Julai lalu hingga 27 Julai ini. Katanya, operasi bagi memastikan pematuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1984 dengan meninjau tahap keberkesanan dan keselamatan diambil pihak kontraktor.

Print Email