Pekerja cedera jatuh lubang 10 meter
MyMetro Online, 21 September 2014
Kuala Lumpur: Seorang pekerja binaan warga Pakistan terjatuh ke dalam lubang pembentungan sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, lelaki berusia 30-an itu dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pembinaan sebelum tergelincir ke dalam lubang pembentungan terbabit.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.19 sebelum mengerahkan sebuah jentera dan lima anggota ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan dari pembentung berkenaan dan dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher dan patah kaki kiri.
"Mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan selanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini. Oleh Fardy Bungga