Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Utama kesihatan, keselamatan tapak pembinaan
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Utama kesihatan, keselamatan tapak pembinaan

Utama kesihatan, keselamatan tapak pembinaan

Utusan Online, 29 April 2014

 news 29042014 uo

OMAR Mat Piah (kiri) menunjukkan perancah yang dilengkapi dengan sistem keselamatan untuk pekerja sambil diperhatikan oleh Koh Moo Heng sempena majlis Pelancaran Kempen Cegah Jatuh di Tapak Projek The Seed, Taman Sutera, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 28 April - Pemain industri pembinaan di Johor dinasihati untuk sentiasa mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan di tapak binaan berikutan terdapat lima kes kematian dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini akibat insiden jatuh.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Omar Mat Piah berkata, jumlah tersebut amat membimbangkan memandangkan negeri ini khususnya di Johor Bahru sedang mengalami kerancakan proses pembinaan pelbagai bangunan baharu.

"Berdasarkan statistik diperoleh terdapat 11 kematian di tapak pembinaan dan 10 daripadanya adalah disebabkan sama ada pekerja terjatuh daripada tempat tinggi atau peralatan jatuh mengenai pekerja.

"Dalam tempoh empat bulan tahun ini, sudah terdapat enam kes kematian dan lima daripadanya adalah daripada insiden jatuh," katanya dalam majlis Pelancaran Kempen Cegah Jatuh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kimlun Sdn. Bhd., Firdaus Saif dan Timbalan Pengarah Urusan Tanah Sutera Development Sdn. Bhd., Koh Moo Heng.

Kempen Cegah Jatuh yang diadakan tersebut merupakan antara langkah diambil JKKP Johor dalam memberikan kesedaran kepada pemain industri pembinaan untuk mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan berkaitan insiden jatuh.

Menurut Omar lagi, buat waktu ini terdapat lebih daripada 600 tapak binaan aktif di Johor dan kira-kira 75 peratus daripada jumlah tersebut berada dalam daerah Johor Bahru.

"Selain daripada mengadakan kempen kesedaran berhubung isu kesihatan dan keselamatan di tapak binaan, JKKP juga menjalankan pemeriksaan rutin, siasatan serta tugas-tugas audit.

"Tujuan utama bukan untuk menghukum mana-mana pemaju dan syarikat kontraktor yang didapati bersalah, tetapi kami mahu menimbulkan kesedaran terhadap aspek terbabit," ujarnya.

Print Email