Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • FGV tidak kompromi soal keselamatan pekerja ladang
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • FGV tidak kompromi soal keselamatan pekerja ladang

FGV tidak kompromi soal keselamatan pekerja ladang

Utusan Online, 10 Julai 2013

news 10072013Ismail Hassan (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada Daud Amatzin (kanan) sambil disaksikan oleh Abdul Kadir Husain (dua dari kiri)
dalam majlis sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2013 di Balai Felda, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Wahidin Salim

KUALA LUMPUR 9 Julai - Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan khususnya melibatkan pekerja ladang kelapa sawit bagi mengelak daripada dijadikan 'bahan' cemuhan pesaing terutama pengeluar minyak soya dari Eropah.

Naib Presiden Kanan (Perladangan) FGV, Ismail Hassan berkata, hal demikian kerana faktor keselamatan turut menjadi tumpuan penting oleh para pesaing dalam mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelabur dan pengguna.

"Dalam konteks keselamatan, contohnya seseorang pekerja ladang menjalankan kerja-kerja menyembur racun tanpa memakai topeng keselamatan, kalau perkara ini diketahui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sampai ke pengetahuan pesaing kita, sudah pasti akan memberi kesan negatif.

"Walaupun ini isu kecil, orang lain mencari isu-isu kecil ini (jadi bahan cemuhan) supaya kita 'tutup kedai' dan mereka senang berniaga. Untuk itu, kita amat menitikberatkan isu keselamatan bagi menjadi penyokong kepada perjalanan besar sektor perladangan ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2013 di Balai Felda di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya), Abdul Kahar Husain dan Naib Presiden yang juga Ketua Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kumpulan FGV, Daud Amatzin.

Pasaran minyak sawit negara mengalami 'pasang surut' di Eropah baru-baru ini ekoran kritikan beberapa negara terhadap pengeluaran minyak itu termasuk tuduhan Malaysia tidak mengutamakan penjagaan alam sekitar dalam melaksanakan penanaman sawit.

Tuduhan itu dilihat sebagai tidak berasas bagi 'membunuh' pasaran minyak sawit yang berdepan saingan daripada pengeluar lain khususnya minyak soya dan minyak sayuran.

Malaysia merupakan antara negara pengeksport sawit terbesar dunia selain Indonesia.

Ismail berkata, soal keselamatan di ladang-ladang kelapa sawit juga penting kerana perkara itu turut memberi implikasi kepada pengambilan pekerja khususnya pekerja asing.

"Kalau berlaku kemalangan, implikasinya pesaing akan memberi persepsi negatif kepada kita. Mereka serang kita dalam aspek kemusnahan hutan tetapi akan lebih buruk kalau kita mengabaikan aspek keselamatan pekerja,'' tegasnya.

Dalam pada itu, Daud berkata, daripada segi pengeluaran minyak masakan, minyak sawit tempatan termasuk pengeluaran dari Indonesia bersaing dengan 16 jenis minyak dengan minyak soya dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menjadi pesaing utama.

"Oleh yang demikian, kita tidak akan mengetepikan soal keselamatan yang menjadi antara 'pembantu' dalam melonjakkan persepsi dan pasaran minyak sawit,'' katanya.

Print Email