Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Wujud kecuaian susur jambatan runtuh
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Wujud kecuaian susur jambatan runtuh

Wujud kecuaian susur jambatan runtuh

Utusan Online, 7 Julai 2013

KUCHING 6 Julai - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengenal pasti wujud kecuaian kontraktor hingga menyebabkan berlaku kejadian runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang pada 6 Jun lalu.

Ketua Pengarah JKKP, Datuk Dr. Johari Basri berkata, siasatan pihaknya mendapati terdapat dua jenis kecuaian dalam runtuhan tersebut iaitu kecuaian prosedur dan teknikal.

Katanya, kertas siasatan berhubung runtuhan yang telah siap sepenuhnya itu akan diserahkannya kepada pihak pendakwa raya untuk diteliti bagi mengambil tindakan undang-undang.

"Kertas siasatan berhubung kejadian runtuhan jambatan di Pulau Pinang baru-baru ini telah pun siap dan JKKP mengenal pasti kecuaian berpunca daripada pihak kontraktor.

"Jadi, buat masa ini pihak JKKP sedang menyediakan kertas pertuduhan dan apabila siap kita akan berbincang dengan pihak pendakwa raya untuk mendapatkan pendapat mereka pula," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui di majlis penyerahan cek kepada 876 pekerja kilang Sanmina-SCI (M) Sdn. Bhd. yang disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem.

Dalam kejadian pada 6.40 petang 6 Jun lalu, dua bahagian konkrit iaitu 180 tan konkrit keras dan 100 tan konkrit lembut di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam proses pembinaan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu runtuh menyebabkan seorang terbunuh.

Sementara itu dalam majlis berasingan, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof berkata, pihaknya akan turut menggunakan hasil kertas siasatan JKKP untuk menambah baik sektor pembinaan jalan raya di negara ini.

"Laporan itu akan digunakan oleh satu kumpulan pakar yang dipengerusikan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim bagi melihat kaedah pembinaan yang terbaik untuk diguna pakai.

"Langkah ini perlu bagi menangani dan mengurangkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini sama ada runtuhan, kematian, kemalangan dan sebagainya secara komprehensif dan bukan bertindak secara ad-hoc," katanya.

Print Email