Penyelia Keselamatan Tapak Bina

  • Di bawah Peraturan 25(1), Peraturan-Peraturan Kilang Dan Jentera (Kendalian Bangunan Dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan)(Keselamatan) 1986 [BOWEC],  kontraktor utama hendaklah melantik penyelia keselamatan tapak bina bagi menjalankan penyeliaan keselamatan keatas aktiviti pembinaan yang dijalankan  di tapak bina. Antara tugas penyelia keselamatan tapak bina adalah -

    a) memeriksa dan memperbaiki mana-mana keadaan tidak selamat di tapak bina;

    b) membetulkan mana-mana amalan tidak selamat;

    c) memeriksa kerja-kerja sub-kontraktor untuk memastikan bahawa Akta dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya dipatuhi; dan

    d) berhubung terus dengan penyelia keselamatan kontraktor berkenaan dengan keselamatan bekerja yang dijalankan oleh sub-kontraktor.

    Di bawah Peraturan 25(2) Peraturan BOWEC telah menetapkan bahawa penyelia keselamatan tapak bina hendaklah seorang yang kompeten untuk melaksanakan tugas-tugas yang ditetapkan dalam subperaturan (3) dan (4), dan mempunyai kelayakan yang diluluskan oleh Ketua Pemeriksa dan berpengalaman sekurang-kurangnya selama dua tahun sebagai formen tapak bina.  Ketua Pemeriksa ialah Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

    Sehubungan dengan itu, bagi menetapkan kompetensi penyelia keselamatan tapak bina, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah memutuskan bahawa penyelia keselamatan tapak bina hendaklah  seseorang yang telah berjaya menamatkan kursus penyelia keselamatan tapak bina yang dijalankan oleh pusat pengajar yang berdaftar dengan JKKP, dan telah lulus peperiksaan yang dijalankan oleh Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP, dan berdaftar dengan JKKP.
  • Seseorang yang ingin mendaftar sebagai penyelia keselamatan tapak bina hendaklah -

    A.      warganegara Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam bidang kejuruteraan atau arkitek atau bidang berkaitan pembinaan, dan telah menghadiri kursus penyelia keselamatan tapak bina di pusat pengajar yang berdaftar dengan JKKP, dan telah lulus peperiksaan penyelia keselamatan tapak bina yang dikendalikan oleh NIOSH atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP; atau

    B.      warganegara Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman sebagai penyelia tapak bina atau formen tapak bina, dan telah menghadiri kursus penyelia keselamatan tapak bina di pusat pengajar yang berdaftar dengan JKKP, dan telah lulus peperiksaan penyelia keselamatan tapak bina yang dikendalikan oleh NIOSH atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP; atau

    C.      warganegara Malaysia yang telah mempunyai sekurang-kurangnya sepuluh tahun pengalaman sebagai penyelia tapak bina atau formen tapak bina; dan telah lulus peperiksaan penyelia keselamatan tapak bina yang dikendalikan oleh NIOSH atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP;

    Untuk makluman, Jabatan telah menetapkan beberapa kelayakan tambahan bagi pendaftaran SSS. Kelayakan pendaftaran tambahan tersebut ialah-

    D.      warganegara Malaysia yang telah lulus peperiksaan pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) di NIOSH tetapi belum boleh berdaftar sebagai SHO kerana kurang tiga (3) tahun pengalaman, dengan syarat tambahan iaitu -

                                     i.            mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua belas (12) bulan dalam bidang pembinaan; atau

                                   ii.            menghadiri modul 6 (construction safety) bagi kursus SSS; atau

                                  iii.            menghadiri kursus penyelia tapak bina (site supervisor) yang dijalankan oleh CIDB.

    E.       warganegara Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau yang setaraf dengannya dari mana-mana badan profesional atau institusi yang diluluskan oleh Jabatan, dengan syarat tambahan iaitu -

                                     i.            mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya enam (6) bulan dalam bidang pembinaan; atau

                                   ii.            menghadiri modul 6 (construction safety) bagi kursus SSS.

    Walau bagaimanapun, kelayakan pendaftaran tambahan ini hanyalah bersifat sementara untuk tempoh masa yang akan ditetapkan, dan ia boleh ditarik balik mengikut ketetapan yang akan ditentukan oleh Ketua Pengarah.

    Jabatan turut menetapkan bahawa seseorang itu tidak boleh memegang kad perakuan pendaftaran sebagai SHO dan SSS pada satu masa yang sama. Sungguhpun begitu, Jabatan tiada apa-apa halangan untuk seseorang itu memiliki kompetensi yang lain pada masa yang sama.

Tags: Competency, SSS

Cetak