Penguji Gas Bertauliah / Penyelia Kemasukan

  • Penguji gas bertauliah (AGT) merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menjalankan ujian atmosfera di dalam ruang terkurung.

    Penyelia kemasukan (ES) merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menyelia semua aktiviti sebelum, semasa dan selepas operasi kemasukan pekerja ke dalam ruang terkurung.

    Seseorang majikan hendaklah melantik, menggaji atau mengambil kerja orang kompeten yang dipanggil AGTES bagi menjalankan pengujian gas dan menyelia proses kemasukan ke dalam ruang terkurung seperti yang telah ditetapkan dalam Tataamalan Bekerja Selamat di Dalam Ruang Terkurung 2010.

    AGT & ES yang dilantik oleh majikan hendaklah yang telah menghadiri kursus latihan tentang bekerja selamat di dalam ruang terkurung untuk penguji gas bertauliah dan penyelia kemasukan, dan telah lulus ujian atau peperiksaan.

    AGT hendaklah:
    a. Mempunyai pengetahuan terkini tentang bahaya yang mungkin dihadapi semasa kemasukan, termasuk maklumat tentang cara, tanda dan simptom dan akibat tentang pendedahan;
    b. Mengenalpasti semua bahaya dan mengesyorkan langkah kawalan bagi memastikan kemasukan yang selamat;
    c. Mahir tentang semua kelengkapan kemasukan ruang terkurung;
    d. Menguji dan mentafsir paras bacaan gas di dalam ruang terkurung;
    e. Menjalankan lain-lain tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang dinyatakan dalam Tataamalan Bekerja Selamat Di Dalam Ruang Terkurung 2010.

    ES pula hendaklah:
    a. Mempunyai pengetahuan terkini tentang bahaya yang mungkin dihadapi semasa kemasukan dalam ruang terkurung;
    b. Menyelia semua aktiviti sebelum, semasa dan selepas operasi kemasukan dalam ruang terkurung;
    c. Menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan semua prosedur, ujian dan kelengkapan yang ditetapkan dalam permit bekerja telah dipatuhi sebelum permit bekerja diluluskan;
    d. Menghentikan kemasukan dan membatalkan permit bekerja tersebut jika keadaan kemasukan boleh terima tidak dapat dikekalkan;
    e. Menutup permit bekerja selepas kemasukan selesai; dan
    f. Menjalankan lain-lain tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang dinyatakan dalam Tataamalan Bekerja Selamat Di Dalam Ruang Terkurung 2010.
  • Kelayakan Akademik

    1. Mempunyai sekurang-kurangnya SPM atau kelayakan setara dan kredit dalam subjek Sains atau sekurang-kurangnya gred C dalam subjek Sains;
    2. Mempunyai 3 tahun pengalaman kerja dalam bidang ruang terkurung; dan
    3. Hadir kursus dan lulus peperiksaan Penguji Gas Bertauliah dan Penyelia Kemasukan (AGTES) di penyedia latihan yang berdaftar dengan Ketua Pengarah.

    Kelayakan Tambahan (Tidak Memenuhi Kelayakan Akademik)

    1. Mempunyai 10 tahun pengalaman kerja dalam bidang ruang terkurung;
    2. Hadir kursus dan lulus peperiksaan Penguji Gas Bertauliah dan Penyelia Kemasukan (AGTES) di penyedia latihan yang berdaftar dengan Ketua Pengarah; dan
    3. Lulus sesi penilaian/temuduga/verifikasi yang dijalankan oleh JKKP.

    Prosedur

    1. Sekiranya permohonan memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki, pemohon akan didaftarkan sebagai AGTES;
    2. Permohonan pendaftaran hendaklah dikemukakan kepada Jabatan selewat-lewatnya tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh sah kad perakuan latihan AESP dan sijil kelayakan peperiksaan AGTES; dan
    3. Tempoh kelulusan adalah berdasarkan kepada tempoh kelulusan peperiksaan AGTES daripada pihak NIOSH atau tempoh tamat projek yang sedang diduduki (Mana-mana yang tamat tempoh terlebih dahulu).

    Syarat Tambahan

    1. Mempunyai majikan tetap dan bukannya freelance di mana kerja-kerja AGTES yang dijalankan adalah di bawah tanggungjawab syarikat tersebut; dan
    2. AGTES hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja-kerja bagi syarikat tersebut dan kelulusan AGTES untuk bekerja bagi syarikat tersebut akan dinyatakan dalam sijil perakuan pendaftaran AGTES yang dikeluarkan oleh Jabatan.
    3. Pemohon hendaklah melampirkan profil syarikat yang mengandungi sekurang-kurangnya maklumat seperti berikut:-

      • Proses kerja di syarikat tersebut atau perkhidmatan yang diberikan;
      • Senarai aktiviti ruang terkurung di syarikat Majikan;
      • Senarai jentera/ruang terkurung dan salinan CF (jika berkaitan);
      • Senarai projek berkaitan ruang terkurung (jika tiada aktiviti/kerja ruang terkurung di premis sendiri/majikan); dan
      • Gambar-gambar kerja berkaitan ruang terkurung.

Tags: Competency, AGTES

Cetak