Letupan dan Kebakaran di Stor Penyimpanan LPG

Pada 24 Julai 2010, kira-kira jam 1.30 tengahari, berlaku satu kejadian letupan dan kebakaran di sebuah stor penyimpanan selinder LPG. Walaupun tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan, insiden telah menyebabkan kerosakan teruk pada harta benda di stor penyimpanan selinder LPG. Kira-kira 150 buah selinder LPG 12kg dan 50 buah selinder LPG 50 kg serta sebuah rumah pekerja telah mengalami kerosakan teruk di stor penyimpanan tersebut. Gambarfoto 1 menunjukkan kesan letupan selinder LPG di stor penyimpanan tersebut.
Gambarfoto 1: Keadaan selinder gas LPG yang rosak akibat letupan

LPG adalah bahan mudah terbakar yang dikelaskan sebagai bahan berbahaya kerana LPG yang disimpan di dalam selinder boleh mengalami boiling liquid expanding vapor explosion (BLEVE) sekiranya terdedah kepada sumber api dalam satu tempoh dan intensiti yang mencukupi. Justeru itu, sebarang kebocoran di stor penyimpanan harus dielakkan. Hasil penyiasatan mendapati pemunya stor penyimpanan mungkin menjalankan kerja-kerja decanting.
Melalui pemerhatian yang lebih mendalam, selinder LPG 12kg telah disusun dalam barisan secara terbalik di atas selinder LPG 12kg yang berada di barisan bawah. Selinder LPG 12kg kemudian dihubungkan ke selinder LPG 50kg menggunakan hos fleksibel atau tiub tembaga. Susunan ini membolehkan gas dari selinder LPG 12kg dipindahkan ke selinder LPG 50kg melalui tarikan graviti. Proses ini akan berterusan sehingga selinder LPG 50kg telah penuh diisi. Proses yang sedemikian melibatkan risiko tinggi kebocoran gas mudah terbakar yang boleh menyebabkan letupan dan kebakaran dengan adanya percikan atau nyalaan api. Oleh kerana risiko tersebut, proses ini telah diharamkan di negara ini serta beberapa negara lain di dunia.
Langkah pencegahan perlu dipertimbangkan melibatkan kemudahan pengendalian dan penyimpanan bahan mudah terbakar dan letupan:-
1.
Pengenalpastian hazad, penaksiran risiko dan langkah-langkah kawalan (HIRARC) hendaklah dilaksanakan dalam pengendalian dan penyimpanan bahan api LPG untuk memastikan kerja boleh dijalankan dengan selamat;
2.
Semua silinder perlu disimpan di tempat yang selamat, tempat yang berventilasi baik (udara terbuka), mempunyai sempadan, jauh dari bangunan, jalan awam, dan sumber api;
3.
Semua silinder mesti disimpan secara tegak dan selamat;
4.
Pastikan tidak ada peralatan elektrik atau kenderaan yang boleh menyebabkan wujudnya sumber api; dan
5.
Kawasan penyimpanan harus terpelihara dengan baik melalui housekeeping yang baik, dilengkapi dengan tanda amaran yang mencukupi serta peralatan pemadam kebakaran.

Cetak