Kemalangan Melibatkan Runtuhan Struktur Bangunan

Satu kemalangan telah berlaku pada 28 Mei 2009 lebih kurang jam 5.00 petang melibatkan runtuhan struktur bangunan. Kemalangan tersebut telah menyebabkan tujuh orang pekerja maut dan tiga orang lagi cedera.
Kemalangan berlaku ketika kerja - kerja meruntuhkan bangunan yang sedia ada untuk tujuan pembinaan semula kompleks pejabat dan pasaraya. Kerja-kerja meruntuh (Demolition Works) dilakukan menggunakan empat buah excavator yang dipasang dengan hydraulic breaker dan sebuah excavator dipasang dengan shovel yang ditempatkan di kawasan parkir tingkat empat.
Bahagian bangunan yang runtuh dibina menggunakan kaedah 'pelit rata konkrit prategasan pasca tegangan tendon tidak terekat' (flat plate prestressed concrete of post tensioning unbonded tendon). Kaedah ini menggunakan tendon di mana daya kekuatan tegangan tendon akan digunakan untuk mengatasi kelemahan semulajadi konkrit iaitu lemah di dalam keadaan tegangan apabila dikenakan beban.
Pengggunaan kaedah ini amat kritikal kerana tenaga yang disimpan di dalam tendon sangat tinggi. Keadaan ini amat berbahaya terutamanya ketika cara kerja pembukaan yang tidak selamat pada papak dilakukan. Sekiranya tegangan pada tendon dilepaskan, papak boleh menjadi lemah dan tidak dapat menampung beban yang dikenakan. Tendon juga boleh melibas keluar dari papak jika diputuskan secara tidak sengaja.
Cadangan
 
1.
Proses meruntuhkan bangunan hendaklah mematuhi kehendak perundangan berkaitan dan merujuk standard serta tata amalan industri yang bersesuaian.
2.
Menjalankan kajian struktur (engineering survey) untuk mengenalpasti kaedah binaan bangunan yang ingin diruntuhkan terutamanya bagi struktur bangunan yang kompleks.
3.
Menjalankan pengurusan risiko terhadap hazad kesihatan dan hazad struktur (HIRARC) sebelum aktiviti perobohan dimulakan.
4.
Menyediakan method statement untuk menjelaskan bagaimana kerja perobohan hendak dijalankan termasuklah perincian kerja perobohan, jenis jentera yang digunakan dan langkah keselamatan yang perlu diambil.
5.
Pengurusan sisa binaan hendaklah dilakukan termasuklah pembinaan pelungsur yang sesuai dan memastikan sisa binaan dibuang secara berkala untuk mengelakkan beban berlebihan pada papak dan lain-lain struktur yang berkaitan.
6.
Jurutera Bertauliah hendaklah menyediakan pengiraan rekabentuk struktur dengan mengambilkira intregiti, kekuatan dan kestabilan struktur termasuk penyokong sementara dan beban yang akan dikenakan.
7.
Kerja perobohan hendaklah diselia dan dipantau oleh pakar atau orang yang berpengetahuan dalam kerja - kerja meroboh struktur tersebut.
8.
Majikan hendaklah memastikan maklumat yang berkaitan dengan kerja perobohan disampaikan kepada pekerja, pihak-pihak yang terlibat dan orang lain yang mungkin terjejas akibat aktiviti tersebut.
9.
Majikan perlu mengikut method statement yang telah ditentukan.
Rujukan
 
»
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
»
Akta Kilang dan Jentera 1967
»
Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-kerja Kejuruteraan) (Keselamatan) 1986
»
Garis Panduan Bagi Keselamatan dan Kesihatan Awam di Tapak Pembinaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 2007
»
Standard / Tata amalan:
 
a.
MS 282, 1975: Code Of Practice For Building Operations Code
 
b.
BS 6108 : 2000 : Code of Practice for Demolition
 
c.
Code of Practice for Demolition of Buildings, 2004 (Hongkong)
 
d.
Approved Code of Practice for Demolition (New Zealand)
 
e.
CP 11 : 2002 : Code of Practice for Demolition
 
f.
AS 2601 - 2001 : The Demolition of structure

Cetak