Slider

Penaksir Risiko Bising

  • Penaksir Risiko Bising (NRA) merupakan orang yang bertanggungjawab menjalankan penaksiran pendedahan bising di tempat kerja sebagaimana yang dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019.

    Seseorang majikan hendaklah melantik, menggaji atau mengambil kerja orang kompeten yang dipanggil NRA bagi melaksanakan penaksiran bising menurut standard yang ditetapkan oleh Jabatan.

    Penaksir Risiko Bising hendaklah:
    1. menjalankan penaksiran risiko bising di tempat kerja seperti yang dikehendaki dibawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019 dalam tempoh pendaftaran yang sah;
    2. memastikan penentukuran yang sah bagi kelengkapan pengukuran bising yang digunakan untuk penaksiran risiko bising;
    3. memberitahu Pengarah pejabat negeri JKKP berkaitan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum menjalankan apa-apa penaksiran risiko bising;
    4. menyiapkan dan mengemukakan laporan lengkap penaksiran risiko bising kepada majikan dalam tempoh 30 hari selepas tamat penaksiran;
    5. membentangkan hasil penaksiran dan cadangan kawalan bising kepada majikan dalam tempoh 30 hari selepas tamat penaksiran; dan
    6. mengemukakan laporan ringkas penaksiran risiko bising kepada Ketua Pengarah dalam tempoh 30 hari selepas tamat penaksiran.

  • Prosedur Pendaftaran Penaksir Risiko Bising (NRA)
    (a) warganegara Malaysia;
    (b) mempunyai satu (1) tahun pengalaman kerja dalam bidang permonitoran atau penaksiran bising;
    (c) tidak disabitkan kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] atau peraturan-peraturan dibawahnya;
    (d) disahkan sihat oleh OHD; dan
    (e) mengemukakan permohonan pendaftaran dalam tempoh tiga (3) tahun selepas hadir dan lulus kursus NRA.

    Kelayakan
    Pilihan 1:
    a. mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Sains, Diploma Kejuruteraan, atau Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); dan
    b. hadir kursus dan lulus peperiksaan NRA di pusat pengajar yang diluluskan;

    Pilihan 2:
    a. mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Higien Industri yang diiktiraf oleh MQA; dan
    b. lulus peperiksaan NRA di pusat pengajar yang diluluskan;

    Pilihan 3:
    a. diiktiraf sebagai Industrial Hygienist oleh American Board Industrial Hygiene (ABIH) atau badan yang diiktiraf oleh Ketua Pengarah; dan
    b. lulus peperiksaan NRA di pusat pengajar yang diluluskan.

    Prosedur Pembaharuan pendaftaran Penaksir Risiko Bising (NRA)
    (a) aktif menjalankan kerja sebagai NRA dengan melaksanakan minimum satu (1) penaksiran setahun;
    (b) mempunyai sebanyak 30 mata Continuous Education Program (CEP) bagi tiga (3) tahun;
    (c) hadir dan lulus kursus latih semula NRA;
    (d) disahkan sihat oleh OHD;
    (e) tidak disabitkan kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] atau peraturan-peraturan dibawahnya; dan
    (f) mengemukakan permohonan pembaharuan sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh sah pendaftaran semasa.

    Sijil kompetensi NRA tidak akan diperbaharui jika NRA gagal mengemukakan permohonanan pembaharuan dalam tempoh satu (1) tahun selepas tamat tempoh sah pendaftaran semasa. Pemohon hendaklah hadir semula dan lulus Kursus NRA di pusat pengajar yang berdaftar dengan Ketua Pengarah sebelum mengemukakan permohonan pendaftaran baharu untuk pendaftaran.
  • Permohonan pendaftaran Penaksir Risiko Bising (NRA)

    (a) sijil kelayakan akademik atau profesional;

    (b) Kad Pengenalan;

    (c) perincian pengalaman bekerja dalam pemonitoran atau penaksiran risiko bising, disahkan oleh majikan;

    (d) sijil kehadiran kursus NRA;

    (e) sijil lulus peperiksaan Kursus NRA; dan

    (f) laporan pemeriksaan kesihatan oleh OHD.

    Permohonan pembaharuan Penaksir Risiko Bising (NRA)

    (a) senarai penaksiran risiko bising yang dijalankan dalam tempoh sah pendaftaran semasa;

    (b) satu salinan laporan penaksiran risiko bising yang dijalankan dalam tempoh 12 bulan sebelum tamat tempoh sah pendaftaran;

    (c) salinan dokumen berkaitan CEP yang dihadiri;

    (d) salinan sijil kehadiran Kursus Ulangkaji NRA;

    (e) salinan sijil lulus peperiksaan Kursus Ulangkaji NRA; dan

    (f) laporan pemeriksaan kesihatan oleh OHD.

    Permohonan Baru dan Pembaharuan boleh dibuat secara atas talian melalui http://mykkp.dosh.gov.my/

Cetak Emel